Pimpinan PUTRA Sesi 2014/2015

Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan atau singkatannya (PUTRA) merupakan sebuah badan kebajikan anak negeri Terengganu yang bernaung di bawah Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) serta Education Malaysia Jordan (EMJ).

Lawatan Rasmi Delegasi Yayasan Terengganu

Sekitar lawatan rasmi delegasi Yayasan Terengganu ke bumi Jordan . Lawatan rasmi ini diadakan di semua 4 mantiqah iaitu , Yarmouk ( Universiti Yarmouk dan Jordan University Science and Technology) , Mafraq ( Universiti al-Bayt) , Amman ( Universiti of Jordan) . Mu'tah ( Universiti Mu'tah)

Karya Siswa Sempena Ramadhan Dan Aidil Fitri

Wan Nur Farhana,Universiti Yarmouk “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [Al-Baqarah:183]

ANDA DAN KESIHATAN

Assalamualaikum semua..Suka kami untuk berkongsi dengan anda tips penjagaan kesihatan terutamanya ketika musim sejuk yang bakal tiba.

Selamat Hari Raya Aidil Adha'

Selamat Menyambut Hari Raya Aidul Adha buat semua ummat Islam di dunia . كل عام وأنتم بخير !

Saturday 22 February 2014

KARYA TERBAIK MINGGU KE-2

Tahniah buat pemenang karya terbaik minggu ke-2 iaitu:

Wan Nur Farhanah binti Wan Aljannah
Tahun 2
Universiti Yarmouk
Kategori cerpen

KEMBARA PETRA
Senyumku  melebar ke telinga. Puas. Bebola mata aku lotarkan ke jendela coaster. Pokok-pokok  zaitun dan tanah lapang seakan padang pasir menghiasi pandangan. Bas kecil itu terus meluncur laju menuju ke Irbid, sebuah daerah di utara Jordan yang menjadi tempat permastautinan aku sepanjang tempoh menuntut ilmu di sini. Mataku masih menatap ke luar jalan. Pandangan yang sama seperti tadi. Apalah yang boleh diharapkan sangat selain rimbunan pohon zaitun dan padang pasir yang terkadang berselang-seli dengan sekelompok unta dan sekelompok kambing ternakan. Namun itulah yang membahagiakan aku, apa yang tiada di tanah airku, itulah yang istimewanya tentang tanah arab.
Aku melepas lelah. Penat yang berlingkar ke kaki dan seluruh anggota badan mula memeritkan. Kalau ini yang perlu aku bayar demi menawan puncak Petra, aku terima. Badan yang sengal-sengal aku sandar ke kerusi, tangan disilang ke dada tanda tidak berdaya lagi menatap suria yang perlahan-lahan ditelan bukit-bukit batu. Faizah di sebelah sudah lama terlelap. Bahkan hampir kesemua peserta kembara sudah  lama ‘mengembara’ ke alam  lain. Mata aku pejam perlahan, dan kota purba Petra aku tinggalkan dengan sejuta kenangan.
**
Beg sandang belakang berisi tuala kecil, peralatan diri, power bank, stok makanan ringan, spek mata hitam beserta minyak angin cap kapak aku zip kemas. Kemudian aku sandarkan pada kepala katil. Tilam katil yang agak bersepah dengan selimut dan bantal aku rapikan. Tanpa membuang masa, aku henyakkan tubuh  ke katil. Lengan sebelah kiri aku letakkan di dahi. Penat juga packing barang walaupun  trip kali ini cuma sehari semalam. Bukan penat berkemas, tapi lebih kepada penat memikirkan apa yang perlu dibawa ke lawatan kali ini.
Mindaku mula terbayang-bayangkan Petra, kota berdinding batu yang pernah hilang dari peradaban manusia selama lima ratus tahun sebelum dijumpai semula oleh peneroka barat, Johann Ludwig Burckhardt pada tahun 1812. Melihat gambar-gambar Petra di Google membuatkan aku  makin tidak sabar menawan puncaknya, bertambah teruja apabila melihat ukiran-ukiran yang maha unik dan menarik. Tanpa sedar, bibirku mengukir senyum. Moga Allah swt permudahkan urusanku dan kawan-kawanku nanti.
Lengan jubah aku selak sedikit. Tepat 12:00 tengah malam. Lagi dua jam setengah sebelum bertolak  ke Petra. Aku bingkas bangun ke dapur, mahu menyediakan roti sardin buat bekalan  sarapan pagi esok sebelum mendaki. Sepuluh minit kemudian, Zahirah menyertai aku untuk membuat roti sosej. Siti pula tidur di bilik sejak pukul 11.45 malam lagi. Dimintanya aku untuk kejutkan dia pukul 02.00 pagi nanti. Penganjur program, Qusyairi sudah siap berpesan untuk sediakan sedikit sarapan masing-masing di group Facebook untuk mendapatkan sedikit tenaga sebelum  memulakan pendakian. Memanglah ada kedai-kedai di kawasan Petra namun yang dijualnya bukanlah  nasi minyak atau mi goreng. Lagi pula, mana mahu cari roti sardin di kedai-kedai arab di Jordan ini! Heh.
02.50 pagi, kami bertiga berjalan menuju Simsimah, supermarket kecil yang terkenal dalam kalangan pelajar Malaysia di Irbid yang hanya kurang lima minit dari rumah. Seringkali Simsimah dijadikan tempat berkumpul sejak dahulu lagi. Sesampainya di coaster, aku mencari Faizah terlebih dahulu kerana sudah berjanji untuk duduk bersamanya. Tangga coaster aku panjat penuh semangat, lalu aku memilih kerusi di sebelah tingkap sebelum Faizah mengambil tempat di sebelahku. Zahirah dan Siti masing-masing mengambil single seat di sebelah tingkap. Sekitar sepuluh minit kemudian, Qusyairi memberikan sedikit taklimat ringkas sebelum bertolak. Menurut beliau, kami akan sampai ke Petra sekitar empat ke lima jam kemudian. Coaster mula bergerak perlahan lima minit kemudian sebelum berhenti di stesen minyak. Aku dan Faizah rancak berborak demi menghalau rasa pening dan loya. Dan akhirnya mataku memberat jua walaupun sudah berjanji untuk berjaga sehinggalah Faizah mengejutkan aku pada jam 06.00 pagi untuk bersolat di Masjid Thoriq ila Madinah.
**
Tanah  Petra aku jejak pada jam 08.15 pagi. Di situ, panas mula terasa walaupun sekarang musim sejuk, hanya angin pagi yang mendamai sedikit menyejukkan. Lantas aku menanggalkan baju sejuk. Tidak aku berhajat untuk membawanya bersama kerana di atas Petra matahari terasa dekat di kepala. Sebaiknya peserta harus memakai seluar panjang untuk memudahkan  pendakian. Botol air mineral aku capai dan masukkan ke beg sandang tepi. Begitu juga tuala kecil. Maisarah teman seperjuangan yang sudah menaiki Petra beberapa hari lepas menasihatkan kami supaya bawa air mineral sendiri kerana sebotol air mineral kecil di kedai-kedai sepanjang pendakian boleh mencecah JD1 (RM4.60)!
Usai makan  pagi, kami berkumpul di pintu masuk Petra. Kad pelajar universiti berserta wang JD1 dikumpulkan oleh salah seorang peserta untuk membayar tiket masuk. Kami beruntung kerana harga tiket pelajar cuma dikenakan JD1 berbanding harga tiket untuk pelancong luar negara yang berharga JD50 setiap seorang (RM235 mengikut kadar tukaran wang semasa). Sebelum itu aku,  Zahirah, Siti, Faizah dan lain-lain telah membeli topi di luar pagar sebagai langkah melindungi kepala dari berbahang. Aku dan Zahirah mengambil topi hawaii manakala Siti dan Faizah masing-masing memilih cap yang bertulis Petra Jordan di atasnya. Tiba-tiba terasa seperti pelancong yang bergembira melancong ke sana sini dan lupa tujuan sebenar datang ke Jordan. Heh.
Masing-masing dibekalkan pamplet mengenai Petra dan sejarahnya. Dari situ, baru aku tahu bahawa Petra adalah tapak kaum dan kerajaan purba Nabatean yang datang dari semenanjung arab dan berhijrah ke selatan Jordan. Dikatakan juga kaum ini bernasab keturunan daripada Nabi Ismail a.s. Kota purba lama ini dikelilingi gunung batu dan dari situ dinamakan Petra yang bermaksud “batu” dalam Bahasa Yunani. Mereka mula membentuk masyarakat dan tamadun  hebat di Petra ini. Namun, kejayaan mereka tidak disenangi oleh kuasa dunia pada ketika itu iaitu Empayar Rom yang sentiasa berusaha menundukkan mana-mana empayar dan kerajaan sekeliling yang dianggap ancaman buat mereka. Kemuncaknya pemerintah Rom pada ketika itu melancarkan peperangan terhadap Petra sekaligus menamatkan penguasaan bangsa Nabatean di bumi Jordan. Kesannya, Petra menghilang dari peta bumi selama ratusan tahun sebelum ditemui kembali orientalis Johan Ludwig. Pergh! Macam tu rupanya sejarah Petra.
Kami mula memasuki jalan yang menuju ke kota Petra. Tiket kami diperiksa dan dipuncher oleh pegawai bertugas di sebuah pondok pengawal berdekatan. Kedai-kedai cenderamata yang menjual pelbagai souvenir berderet di sepanjang jalan. Bermula dari situ, hormon kegembiraan aku bertambah-tambah dan melimpah ruah ke dalam diri disebabkan keterujaan yang melampau. Sungguh, aku sudah lama memasang impian ke Petra walaupun aku sudah dua tahun berada di Jordan. Hari ini 23 Januari 2014 aku berjaya menjejakkan kaki ke kota unik dan ajaib ini. Tuhan Maha Mendengar setiap keluhan dan permintaan hamba-Nya. Indeed.
Kami sekumpulan seramai 23 orang berjalan perlahan-lahan sambil dipandu peserta lelaki yang hanya lima orang itu. Sekitar dua puluh minit berjalan kaki, kami sampai di pintu masuk utama yang diberi nama As-Siq. As-Siq adalah laluan sempit dan dalam antara cenuram gunung-ganang. Di dalamnya seakan-akan gua dimana sepanjang laluan As-Siq, terdapat tarahan di sebelah kiri dan kanannya. Panjangnya sekitar 1200 meter dan ketinggiannya lebih kurang 80 meter. Aku berserta kawan-kawan mula berhenti dan  merakam binaan-binaan yang cukup gah dan hebat itu menyebabkan kami tertinggal di belakang. Betapa binaannya mengagumkan sehingga kuasa kamera tidak mampu merakam  kecantikan sebenar panorama yang aku saksikan. Sungguh, gambar yang diambil langsung tidak sama dengan keadaan yang dilihat sendiri. Kami teruskan perjalanan sehingga bertemu  pintu pertama kota Petra, Al-Khazneh (Treasury). Maha Suci Allah! Binaannya cukup awesome dan megah. Berkeping-keping pemandangan aku rekodkan menggunakan  handphone milikku. Siti di hujung sana ralit mengetip DSLR nikonnya. Zahirah pula menjadi model Siti manakala Faizah sudah terkehadapan. Entah dengan siapa dia berjalan, barangkali bersama kumpulan yang lain. Semua yang berada di situ sibuk merekod kenangan dan  memori. Manakan tidak, hanya orang yang melihatnya sahaja akan mengetahui betapa cantiknya ukiran yang terlekat di batu yang maha besar itu. Dan untuk sampai ke tempat itu memerlukan pengorbanan serta kaki yang kuat untuk melangkah.

Kami teruskan berjalan walau kaki mula memenat. Di lereng-lereng Treasury, ramai arab badwi menyediakan khidmat unta, keldai dan  kuda. Mereka akan menghampiri pengunjung dan menawarkan khidmat ke Monastery (Ad-Deir) yang berada di puncak Petra yang semestinya menjadi destinasi terakhir para pelawat. Ramai yang menghampiri kami tetapi setakat ini kami masih mampu bertahan. Bagi aku perjalanan ke Monastery lebih kelihatan menarik jika tidak menggunakan sebarang haiwan  tunggangan. Terlalu banyak binaan menarik yang harus ditonton dan disentuh serta dirakam  potretnya. Menurut aku, kuasa menghayati kawasan sekitar sedikit berkurang andai menaiki tunggangan ketika mendaki. Namun tidak menjadi satu masalah untuk menggunakan khidmat haiwan untuk sampai ke puncak.
Melepasi Treasury, kami melalui “Street of Facades” yang menempatkan teater, mahkamah, Makam di-Raja dan tempat pengorbanan sebelum bertemu “Colonnaded Street” yang menempatkan kuil-kuil, muzium, makam-makam serta restoran dan bilik air untuk pengunjung melepas lelah di penghujung jalan. Beberapa pengunjung asing selain kami kelihatan berehat di bangku-bangku yang disediakan di sepanjang jalan untuk mengutip tenaga sebelum melangkah kembali. Ada yang menunggang unta dan keldai dan ada sesetengah yang lainnya menaiki kereta kuda. Berada di tengah Petra dan  melihat situasi ini membuatkan aku seolah-olah berada dalam  tamadun  Nabatean yang hebat itu. Kaki yang sengal-sengal aku kuatkan. Tujuan kami adalah Monastery di puncak sana. Perjalanan panjang kami teruskan sehingga sampai ke kaki pergunungan batu. Jam menunjukkan 10:30 pagi. Sudah  satu jam dan tiga puluh minit usia perjalanan kam i. Aku jadi teringat pesanan penganjur program supaya berada di pintu masuk Petra pada pukul 1:30 petang nanti. Melihat pada bentuk perjalanan aku terasa mustahil. Perjalanan  harus dipercepatkan. Kaki gunung kami panjat sepenuh perasaan. Bertabahlah! Aku pujuk lembut hatiku.
**
Lapan  ratus anak tangga menuju Monastery berjaya kami panjat dengan lelah dan nafas tercungap-cungap. Kali ini perjalanan lebih mencabar apabila jalan yang kami panjat berupa batu-batan yang membentuk gunung dan sudah semestinya curam dan licin dan membuatkan pendakinya lebih mudah penat dan tercungap. Ada beberapa gaung dalam yang terbentuk dan untuk menaikinya mestilah berhati-hati. Banyak kali aku berhenti untuk melepas lelah dan menghilangkan dahaga. Matahari pula terasa tegak di kepala. Sungguh tidak terdaya. Serasa dada berombak kuat dan jantung mengepam laju. Mahu pecah rasanya. Tapi aku kuatkan hati dan semangatku. Bila lagi mahu lengkapkan pendakian kalau bukan hari ini. Biarpun kami bertiga dan ada lagi beberapa orang peserta trip kami menjadi antara orang terlambat dan terkebelakang, namun  kami tetap mahu  menghabiskan  jalan ini. Biarpun lambat, kami tetap mahu sampai ke puncak.
Dan akhirnya sekitar jam 12 tengah  hari, kami tiba di Monastery. Sesampainya kami di binaan  gah itu dan merupakan  monumen terbesar Petra, perkataan pertama yang terluncur keluar dari mulutku  ialah “Alhamdulillah” sebelum diikuti “Subhanallah”. Syukur kami diberi kesempatan dan peluang untuk sampai ke puncak dan segala puji bagi Allah apabila terlihatkan binaan  megah itu. Sungguh ia terlalu besar dan hebat. Terasa seperti kerdil di hadapan ukiran tidak bernyawa itu. Lalu bagaimanakah  pula perasaanku ketika menghadap Tuhan Maha Kuasa di Hari Pengadilan nanti? Sesungguhnya Perta sangat menginsafkan aku.
Handphone aku keluarkan. Beberapa keping gambar Monastery aku ambil sebagai syarat  berjaulah sebelum  meminta Siti mengambil gambar kami menggunakan  kameranya. Manakan sama kualiti gambar handphone dibandingkan DSLR! Sepuluh minit disitu sebelum kami memanjat bukit kecil yang membawa kepada “The Best View Of Monastery”. Di atas sana ada warung kecil dan sudah semestinya pelajar lelaki juga berada di sana yang sudah sampai awal daripada kami!
**
Berada di puncak Petra benar-benar membuatkan aku terlupa segala perit mendaki dan semua penat yang berlingkar di urat-urat kaki. Menikmati pandangan terbaik Monastery juga membuatkan aku leka dan langsung lupa tentang pedih memanjat dan lelah tercungap. Biarpun aku mengambil masa lebih kurang tiga jam lebih dan menjadi antara orang terakhir sampai ke puncak, namun aku berbangga kerana telah berjaya menamatkan perjalanan. Sungguh, Allah swt bantu aku dengan menguatkan kaki dan semangat demi melihat kebesaranNya di puncak Petra. Alhamdulillah.
            Kota purba lama Petra sangat masyhur dalam kalangan ahli arkeologi, geologi dan sebagainya sebagai tapak mengkaji seni bina dan sejarahnya selain terkenal sebagai pusat pelancongan dalam kalangan orang awam. Ia merupakan “World Heritage Site” dan termasuk dalam salah  satu daripada 7 Keajaiban Baru Dunia pada tahun 2007 dan Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1985 lagi. Petra juga dipilih oleh British Broadcasting Corporation (BBC) sebagai satu daripada “40 tempat yang anda mesti lihat sebelum mati”
            Dari Petra, aku temui sesuatu. Dengan Petra juga aku belajar tentang sesuatu. Walau sepenat mana kau melangkah, kau pasti jua tiba di penghujungnya. Walau sepenat mana kau dengan dunia, beringatlah kau punya syurga yang menunggu di hari sana. Berkuatlah. Bertabahlah mengharung mehnah tribulasi dunia yang tidak pernah surut malah bertambah pasang pula. Bersusah-susahlah kau di dunia, semoga kau tersenyum di negeri sana.
“Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang” – Imam Syafie

Saturday 15 February 2014

KARYA SISWA MINGGU 1

KARYA TERBAIK MINGGU 1

KATEGORI VIDEO
oleh:Anna Hamiring,Tahun 2,Universiti Mu'tah

Pesan Ibu tentang ayah

Anakku... 
Memang ayah tak mengandungmu..
Tapi,
Darahnya mengalir didarahmu. Darinya kau diwarisi namanya, kedermawanan & kerendahan hati.

Memang ayah tak melahirkanmu...
Tapi,
Suaranya-lah yang pertama mengantarkanmu pada Allah ketika kau lahir.

Memang ayah tak menyusuimu...
Tapi,
Dari keringatnyalah setiap suapan yang menjadi air susumu.

Ayah memang tak menjagaimu setiap saat...
Tapi,
Tahukah kau dalam do'anya tak pernah terlupa namamu disebutnya.

Tangisan ayah mungkin tak pernah kau dengar...
Kerana,
Dia ingin terlihat kuat agar kau tak ragu untuk berlindung di lengannya dan di dadanya ketika merasa tak aman.

Pelukan ayahmu mungkin tak sehangat dan seerat ibu...
Kerana,
Cintaannya dia takut tak sanggup melepaskanmu.

Ayah mu ingin kau kuatkan semangat agar ketika kami tiada kau sanggup menghadapi semua sendiri.

Ibu hanya ingin kau tahu...
Bahawa,
Cinta ayah kepadamu sama besarnya seperti cinta ibu.

Anakku dari dirinya juga terdapat surga bagimu. 
Maka,
Hormati dan sayangi ayahmu.
Kerana,
Ibu adalah tulang rusuk-nya.


Berbahagialah yang masih punya ibu & Ayah

Pertandingan Karya Siswa

KARYA SISWA MINGGU 1

PUISI 1
Oleh:Hamizah Ruslan,Tahun 3,Universiti Yarmouk

Apabila seorang sahabat menghargai sahabat lain, apatah lagi, dalam diam, betapa berharga jadinya sebuah persahabatan itu. Dan sekarang, saya mahu membawa kalian menghargai hubungan kasih sayang antara sahabat, tanpa mereka mengetahui, bukankah itu tanda keikhlasan? J

Di langit biru itu aku menangkap ketenangan,
Di langit nan indah  kupetik nilai kemanusiaan,
Di tengah-tengah keheningan pagi kugapai satu noktah kebahagiaan,
Pernah kubahagia dalam hidup,
Walaupun kutahu keluargaku tiada di sisi,
Kakanda yang dulunya mengisi kekosongan hati tiada di sini,
Namun kulihat pada ‘dia’,
Kutoleh pada tingkahnya,
Nyata ‘dia’ istimewa,
Pabila aku resah, aku gundah, ‘dia’ ada bersama,
Memahami detik-detik kesukaran,
Tatkala kesusahan mengisi uncang kehidupan,
Moga aku tidak kelalaian dalam mencari redha Tuhan,

Payah!
Memang payah mahu menghargai nilai seorang teman,
Bila kesunyian aku mencari,
Bila kealpaan aku yang dicari,
Benarlah kata orang “ ukhuwah itu pabila diimplementasi dengan hati,
Natijahnya membuah pekerti,
Susah senang  tetap sehati,
Setekad jiwa membentuk inspirasi”,
Bukan ketinggian ilmu yang kucari darinya,
Bukan keagungan pangkat yang kuharap padanya,
Bukan juga selaut harta yang kuminta daripadanya,
Tapi yang kudamba, ialah seluas-luas kasih sayang dan kejujuran,
Yang bisa membawa aku kepada Tuhan.

Kini, aku memahami erti ukhuwah dalam keimanan,
Tatkala berukhuwah bertaut sayang,
Terus , hati itu kembali pada Tuhan,
Walaupun badai ombak ganas datang menyimpang,
Tetap teguh meredah medan ,
Moga segalanya kian tabah,
Bersama  insan bernama teman,
Allah.. aku minta padaMu,
Moga Kaukekalkan ia,
Di hatiku..

-Ana_Hr93
-Irbid|2012|Sakan Baitu Tholabah

PUISI 2
Oleh:Wan Nur Farhanah,Tahun 2,Universiti Yarmouk

Aku Tahu Itu

Derap langkah aku susun kemas
Teratur!
Aku bakal memasuki ruangan itu
Ruang yang bakal menyakitkan aku di permulaan
Tetapi akan menerbitkan senyuman di akhirnya
Aku bulatkan tekad sebulat mungkin
Menandakan aku cukup bersedia menghadapinya
Aku jadi yakin
Aku makin bersemangat
Aku teruskan langkah
Biar aku tahu aku bakal tersungkur
Aku pedulikan walang
Kerna aku tahu itu
Adalah bulatan kehidupan

Ku sedut atmosfera nyaman itu
Kini aku di kota Ashabul Kahfi
Mengutip ilmu di situ
Mendewasakan diri
Membentuk jiwa lebih mengenal Tuhan
Langit biru aku junjung kemas
Meski kutahu langit ini bakal runtuh menimpa diri
Namun aku kuat kerna tanah yang aku pijak
Tanah  Syam penuh barakah
Ku harap ada barakah itu untuk insan sepertiku
Yang dipalit noda-noda
Juga tercemar dek dosa
Sepenuh mengharap kasih sayangNya.

Lebih dua belas purnama aku di sini
Banyak yang aku pelajari dan lalui
Sungguh
Perit benar mahu melangkah
Namun aku tahu ada cahaya bahagia di penghujung jalan
Berjuang di bumi asing menuntut pengorbanan
Aku tahu itu
Sungguh
Aku tahu itu
Namun bilamana sudah bertekad
Aku yakin dan pasti
Aku percaya Tuhan akan membantu mereka
Yang berusaha berlari pergi
Demi merebut dakapan Ilahi.

Tuesday 4 February 2014

Permohonan Zakat MAIDAM

Berita gembira buat ahli PUTRA yang ingin memohon zakat MAIDAM.


Permohonan Bantuan Zakat ( MAIDAM ) IPTA/IPTS Dalam dan Luar Negara akan dibuka mulai 7 Februari 2014 dan boleh di isi secara online di http://www.espmb.com/maidam_zakat/

Sila rujuk terlebih dahulu Syarat Kelayakan Permohonan boleh dimuat turun di Laman web Rasmi MAIDAM. http://www.maidam.gov.my/v3

Tarikh Tutup Permohonan adalah Pada 30 April 2014.

Update terbaru akan disiarkan dari semasa ke semasa.Harap maklum