Pimpinan PUTRA Sesi 2014/2015

Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan atau singkatannya (PUTRA) merupakan sebuah badan kebajikan anak negeri Terengganu yang bernaung di bawah Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) serta Education Malaysia Jordan (EMJ).

Lawatan Rasmi Delegasi Yayasan Terengganu

Sekitar lawatan rasmi delegasi Yayasan Terengganu ke bumi Jordan . Lawatan rasmi ini diadakan di semua 4 mantiqah iaitu , Yarmouk ( Universiti Yarmouk dan Jordan University Science and Technology) , Mafraq ( Universiti al-Bayt) , Amman ( Universiti of Jordan) . Mu'tah ( Universiti Mu'tah)

Karya Siswa Sempena Ramadhan Dan Aidil Fitri

Wan Nur Farhana,Universiti Yarmouk “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [Al-Baqarah:183]

ANDA DAN KESIHATAN

Assalamualaikum semua..Suka kami untuk berkongsi dengan anda tips penjagaan kesihatan terutamanya ketika musim sejuk yang bakal tiba.

Selamat Hari Raya Aidil Adha'

Selamat Menyambut Hari Raya Aidul Adha buat semua ummat Islam di dunia . كل عام وأنتم بخير !

Wednesday 20 July 2011

Perutusan PUTRA sempena Pilihanraya, Hari Keluarga dan Majlis Makan Malam Tahunan 2010/2011




Kepada seluruh warga PUTRA yang dikasihi,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…

Salam ukhuwwah dan seluruh mahabbah kepada semua warga PUTRA di Jordan. Sempena sepenggal di bawah kepimpinan PUTRA 2010/2011, kami terlebih dahulu memohon jutaan kemaafan di atas segala salah dan silap serta kekurangan yang telah kami lakukan. Setinggi - tinggi penghargaan terima kasih untuk seluruh warga kerja dan ahli PUTRA yang selama ini telah banyak memberi komitmen serta kerjasama bagi merealisasikan organisasi PUTRA ini.

Pada tarikh 21 Julai 2011 akan diadakan pilihanraya di mantiqah masing - masing untuk memperbaharui barisan kepimpinan PUTRA untuk sesi 2011/2012 di samping memperkemaskan lagi kepimpinan yang ada. Pada 22 Julai 2011 pula akan berlangsungnya hari keluarga PUTRA dan majlis makan malam tahunan PUTRA untuk sesi 2010/2011 yang akan diadakan di Irbid. Jadi, kami menjemput semua warga PUTRA untuk hadir kerana tanpa keizinan Allah dan tanpa anda semua mungkin majlis ini tidak dapat berlangsung dengan jayanya. Ucapan terima kasih didahulukan untuk semua. Kesempatan yang diberikan ini membolehkan kita terus maju dalam menerajui arus kepimpinan yang lebih cekap dan konservatif.

Tujuan diadakan program tahunan ini adalah untuk mengeratkan lagi silaturrahim bagi yang sudah lama tidak bersua dan bertaaruf untuk mereka yang baru. Allah berfirman يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ " "  - surah al - Hujuraat ayat 13 .
Kita diberi petunjuk untuk menjadikan kita lebih beriman dan mengeratkan silaturrahim antara warga PUTRA yang berada di Jordan. Islam juga menyuruh dan menggalakkan kita untuk terus mengeratkan silaturrahim antara sesama muslim. Maka, wajarlah bagi pihak PUTRA mengadakan program tahunan ini demi menyahut seruan murni agama Islam yang sangat kita cintai ini.

Justeru itu, sayugianya diharapkan kepada semua warga PUTRA mahasiswa juga mahasiswi menghadirkan diri ke program tersebut. Kami berharap anda semua dapat bergerak bersama - sama barisan pimpinan yang ada demi merealisasikan motto PUTRA "KE ARAH KEGEMILANGAN PUTRA" ini.

Di samping itu, mana - mana ahli PUTRA yang menghadapi sebarang masalah, bolehlah merujuk kepada barisan pimpinan yang turut serta hadir pada malam tersebut. Dengan terlaksananya program - program sebegini, secara tidak langsung akan membuatkan kita lebih tabah dan semangat untuk teruskan perjuangan di bumi anbiya' yang terletak beribu batu jauhnya dari keluarga kita. Sekurang - kurangnya kita mempunyai kawan - kawan di sini untuk dijadikan pengganti untuk keluarga yang jauh di mata dekat di hati kita ini.

Akhirnya diharapkan kepada semua warga PUTRA agar dapat sama - sama kita kecapi nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan ucapan Alhamdulillah dan berusaha untuk memperlipat gandakan amal ibadat kita selaras dengan kehadiran bulan penuh berkat dan keampunan yang kita nanti - nantikan ini. Apa yang baik datang dari Allah s.w.t dan yang buruk datangnya dari kelemahan makhluk itu sendiri.

Wassalam.




Disediakan Oleh:

......................................
(TENGKU NADHIRAH BINTI TENGKU ZAINAL)
Naib Yang Dipertua,
Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA)
Sesi 2010/2011.


Monday 18 July 2011

Hari Keluarga dan Makan Malam Tahunan PUTRA sesi 2010/11




Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan Program Hari Keluarga dan Makan Malam Tahunan PUTRA 2010/11 beserta PENDAFTARAN KEHADIRAN, ahli PUTRA bolehlah berhubung terus dengan perwakilan mantiqah masing-masing :


PERWAKILAN MANTIQAH IRBID
Syuaib Aiman Amir Bin Kamaruddin  (0779431881)
Ainaa Syahirah Binti Roslan  (0777714163)

PERWAKILAN MANTIQAH MAFRAQ
Syaqim Zulhabri Bin Shafie  (0779241781)
Suryani Izzati Binti Yusof  (0777159327)

PERWAKILAN MANTIQAH MU'TAH
Muhammad Afif Bin Mohd Badrol  (0788689024)
Wan Salwa Binti Wan Hassan  (0787100646)

atau

Facebook Group PUTRAJORDAN



Kelolaan :
Biro Penerbitan dan Perhubungan (BPP)
Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan,
sesi pentadbiran 2010/2011.


Sunday 17 July 2011

Malam Nisfu Sya'aban



SYA'ABAN adalah salah satu bulan Hijrah yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Sya'aban dianggap pintu gerbang Ramadan kerana pada bulan itu umat Islam masih boleh makan dan minum pada siang hari sebelum mereka menyambut kedatangan bulan puasa yang penuh berkat.
Kelebihan Sya'aban dapat dilihat apabila Rasulullah s.a.w pernah memberitahu sahabat mengenai Sya'aban. Bulan itu dinamakan demikian kerana pada bulan itu Allah s.w.t banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya.
Kelebihan Sya'aban berbanding bulan lain ialah seperti kelebihan Rasulullah s.a.w terhadap semua nabi, manakala keutamaan bulan Ramadan berbanding dengan semua bulan adalah seperti keutamaan Allah kepada hamba-Nya.
Pada bulan Sya'aban, ada satu malam sangat dinantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Sya'aban. Pada malam itu, umat Islam akan membanjiri masjid dan surau untuk menghidupkan malam itu dengan bacaan surah Yasiin secara beramai-ramai.
Malangnya, timbul persoalan mengapa umat Islam hanya melangkah kaki ke masjid dan surau pada malam Nisfu Sya'aban saja, tidak pada hari lain dalam bulan lain. Perlu ditegaskan, setiap bulan Hijrah memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing dan bagi Muslim bertakwa akan sentiasa berusaha merebut dan meraih keistimewaan yang Allah s.w.t sediakan pada bulan itu.
Muslim sejati tidak akan memilih bulan tertentu untuk beribadat kepada Allah s.w.t. Dia akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah s.w.t pada setiap masa dan keadaan sehinggalah dia menghadap Allah nanti.
Di samping itu, terdapat juga himpunan hadis menerangkan keistimewaan Sya'aban, kelebihan malam Nisfu Sya'aban dan keutamaan amalan tertentu pada bulan itu. Namun, kebanyakan hadis itu adalah hadis daif menurut pandangan ulama. Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis daif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan.
Pada Sya'aban ini, umat Islam dianjurkan lebih mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dengan meningkatkan amal soleh dan memperbanyakkan ibadat. Tidak ada hadis diriwayatkan berkaitan dengan amalan dan bacaan doa tertentu pada pertengahan Sya'aban mencapai taraf hadis sahih. Menurut mereka, tidak ada satu pun hadis sahih yang membicarakan mengenai malam Nisfu Sya'aban dan amalan dianjurkan pada malam itu.
Berdasarkan amalan biasa dilakukan umat Islam di Malaysia iaitu amalan membaca surah Yasiin sebanyak tiga kali dan juga bacaan doa khusus (doa yang tidak ada asal usulnya dan tidak menepati dalil syara' sama ada dalil manqul (bersumberkan al-Quran dan hadis) atau ma’qul (bersumberkan pendapat ulama mujtahidin yang muktabar).
Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Fatawa, kandungan doa itu secara umumnya adalah permohonan supaya ditetapkan sebagai seorang yang bahagia dan murah rezeki bersesuaian dengan segala kebaikan.
Maksud doa itu berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“ Sesungguhnya Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya ummul kitab (ibu segala suratan). ” (Surah al-Ra’ad : ayat 39)
Jelas di sini percanggahan nyata dalam isi kandungan doa ini. Pada permulaannya pemohon berkata, jika tertulis di sisi Allah s.w.t di dalam kitabnya sebagai seorang yang susah dalam urusan mencari rezeki, pendoa meminta supaya dihapuskan kesusahan itu dan ditetapkan di sisi Allah s.w.t di dalam kitabnya (yang sama) sebagai seorang bahagia dan murah rezeki untuk segala kebaikan, berdasarkan maksud ayat yang disebutkan.
Makna Ummul Kitab ialah tidak ada di dalamnya penghapusan dan tidak ada pengisbatan (penetapan), bagaimana dia (orang yang berdoa) pada masa yang sama memohon penghapusan dan pengisbatan di dalamnya.
Pada masa sama, ucapan doa itu bertentangan dengan adab berdoa seperti digariskan ajaran Islam. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa kepada-Nya), janganlah kamu ucapkan: Ya Allah ampunilah jika Kamu kehendaki, rahmatilah daku jika Kamu kehendaki, berikanlah rezeki padaku jika Kamu kehendaki, sebaliknya hendaklah kamu menetapkan permasalahannya (apa yang diminta), Allah Maha Berkuasa melakukan berdasarkan ketentuan-Nya dan tidak ada paksaan ke atas-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Seterusnya, umat Islam dianjurkan melaksanakan amal ibadat sebanyak mungkin menurut kemampuannya pada malam itu antaranya solat lima waktu secara berjemaah, bersolat sunat dan melakukan solat tahajud, berpuasa sunat, membaca al-Quran, beristighfar kepada Allah s.w.t, bertasbih, bertahlil, bertakbir dan membaca pelbagai doa dan zikir.

Nukilan : Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi,
Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam,
Universiti Darul Iman Malaysia.




Friday 1 July 2011

Peristiwa Isra' dan Mi'raj




PENGERTIAN ISRA' DAN MI'RAJ
Isra' bererti perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:
Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah al-Israa: ayat 1)

Sementara itu Mi'raj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran. 

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar. (Surah an-Najm: ayat 13-18)

Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Isra' Mi'raj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad SAW pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

SEBAB KEPADA ISRA' MI'RAJ
Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad SAW disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).

Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi.

Nabi Muhammad SAW kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Isra' Mi'raj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad SAW. Sebab kepada Isra' Mi'raj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.

PERJALANAN ISRA' DAN MI'RAJ

Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad SAW sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril AS dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Isra' Mi'raj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang. 

Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad SAW dengan ditemani oleh malaikat Jibril AS menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad SAW telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad SAW mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril AS kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril AS meneruskan Mi'raj ke langit pertama hingga ke tujuh.

KEJADIAN SEPANJANG ISRA' MI'RAJ
Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Isra' dan Mi'raj adalah:

Baginda melihat orang yang bercucuk tanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.

Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masyitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya.

Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.


Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.

Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.

Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.

Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.

Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.

Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.

DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU
Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah SAW ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.

Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah SAW telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi.

Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa AS yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad SAW maka Nabi Musa AS berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.

Nabi Muhammad SAW dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa AS kemudiannya maka Nabi Musa AS meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad SAW berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.

Apabila kembali semula maka Nabi Musa AS masih merasakan umat Nabi Muhammad SAW masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.

PERTIKAIAN KAFIR QURAISY
Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Isra' Mi'raj yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah diIsra' dan diMi'rajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Isra' Mi'raj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagiNya.

Kalaulah peristiwa Isra' Mi'raj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad SAW pergi ke Bait al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit tujuh maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bilamana kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Isra' Mi'raj yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad SAW ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah diIsra' dan diMi'rajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Ini kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian rupa.

Sekiranya Nabi Muhammad SAW itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan baginda berkenaan rupabentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut.

Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupabentuk Masjid al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad SAW kerana mereka yakin seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Bait al-Maqdis. Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka mereka menjadi panik dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad SAW sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Bait al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana baginda boleh menjawab semua pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang ahli sihir.

Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd SAW tentang rupabentuk Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril AS untuk menunaikan solat dua rakaat. Bagaimanapun Allah Taala tidak akan membiarkan RasulNya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba hendak memalukan baginda. Allah Taala datangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad SAW. Justeru itu Nabi Muhammad SAW dapat melihat Masjid al-Aqsa dengan jelas sehingga mudah untuk baginda menjawab semua pertanyaan puak musyrikin.

Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata.

PENGAJARAN
Dari segala apa yang telah dinyatakan ini maka sudah tentulah pelbagai pengajaran dapat diambil dari peristiwa Isra' Mi'raj ini. Ia bukanlah hanya sekadar cerita untuk didengar dan dibaca semata-mata namun jauh dari itu ia dapat dijadikan pedoman hidup selama kita di dunia ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dari tulisan ringkas ini. InsyaAllah.



Artikel Isra' dan Mi'raj (1432H)
Biro Dakwah dan Pendidikan
PUTRA 2010/2011