Monday 6 October 2014

KARYA SISWA SEMPENA RAMDHAN & AIDUL FITRI

KATEGORI ARTIKEL

Oleh : Wan Nur Farhana
Universiti Yarmouk
Bahasa Arab & Kesusasteraan

Jumpa Lagi Ramadan
 “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [Al-Baqarah:183]
            Bismillah. Saya mulakan perkongsian dengan mafhum sepotong ayat yang seringkali kita dengar menjelang Ramadan saban tahun. Saya menulis artkel ini adalah kerana ingin berkongsi tentang rasa dan kerana terkesan terhadap sepotong ayat Al-Quran yang menyeru pembaca untuk menyebarkannya. Sebagai pembaca ayat tersebut, saya bertanggungjawab untuk menyebarkannya melalui medium ini. Ayatnya akan saya sertakan di ruangan kesimpulan.
Apabila bercakap tentang takwa, saya jadi teringat akan kata-kata Saidina Ali karramallahu wajhahu apabila ditanya mengenainya. Menurut beliau, takwa itu adalah “Takut kepada Tuhan Rabbul Jalil, beramal dengan apa yang diturunkan yakni Al-Quran, redha dengan rezeki yang sedikit dan bersiap untuk perjalanan pulang (berjumpa Tuhan)”

Ramadan : Hadiah untuk orang bertakwa
Terawih malam kedua puluh di Masjid Alya Tal, Irbid benar-benar menyentuh lembut hati saya. Saat rakaat ke penghujung, imam ada membaca sepotong ayat dimana ayat tersebut benar-benar terserap ke dalam hati. Saya maksimumkan daya ingatan untuk menghafal pangkal ayat tersebut memandangkan saya bukanlah dari golongan penghafaz Al-Quran. Pulang dari masjid, saya menemukan ini saat saya menjumpai ayat tersebut.
“Dan bersegeralah kamu dalam mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” [Ali-Imran:133]
Saya terasa diberi sebuah ‘hadiah’ oleh Tuhan pada malam itu. Rupa-rupanya saya masih disayangi Dia. Ditunjuknya kepada saya bagaimana mahu mendapatkan syurga. Ternyata mendapatkan syurga bukanlah mudah. Harganya berupa ketakwaan yang tidak semua orang mampu membayarnya.
Takwa itu menurut Saidina Ali salah satunya boleh dicapai melalui taatnya kita menuruti kata Al-Quran. Menerusi ayat 133 surah Ali-Imran, Allah menuntut kita bersegera dalam mencari keampunan dan kemaafan. Allah itu sifatnya memaafkan dan Ramadan itu sendri bulan keampunan. Mengapa disia-siakan peluang yang tidak mungkin berulang? Manfaatkanlah setiap detik Ramadan dengan menjad hamba Tuhan. Memandangkan kita sudah berada dalam tempoh sepuluh terakhir Ramadan, sama-samalah kita berusaha melipatgandakan amal baik serta memohon keampunan daripada-Nya. Kerana buat para Mukmin yang bertakwa, mereka dijanjikan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi selain diampukan dosa yang menggunung tinggi.
Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Tuhanmu Maha Pengampun
Saya teringat satu peristiwa yang sangat meninggalkan kesan buat diri saya.
Peristiwa itu berlaku awal Julai 2014 di dalam kelas Nahu di Kuliah Adab, Universiti Yarmouk. Lazimnya, kuliah Nahu akan diakhiri dengan latihan ‘ikrab oleh setiap pelajar mengikut nombor giliran di hadapan kelas. Ditakdirkan hari tersebut adalah giliran seorang pelajar perempuan arab tidak berhijab. Namun entah mengapa saya cukup yakin dan percaya bahawa dia juga satu agama dengan saya.
Dia mengambil tempat di hadapan kelas. Di tangannya terdapat sebatang whiteboard marker sambil menunggu doktor memberinya ayat untuk di’ikrab.
Lalu doktor memberi sepotong ayat Al-Quran.
وإن ربك لذو مغفرة للناس))))
Saat mendengarkan ayat tersebut, saya tersentak sendiri. Namun saya percaya doktor tidak bermaksudkan apa-apa, tetapi apa yang saya rasa adalah sebaliknya.
Dengan keadaan beliau yang tidak berhijab, ditambah pula di dalam bulan Ramadan, Allah takdirkan ayat yang beliau bakal ikrab adalah ayat Al-Quran yang cukup pendek tetapi sangat mendalam maknanya. Saya yang duduk di kerusi cukup berdebar-debar apabila kejadian itu berlaku. Dan sungguh, saya terketar-ketar saat menyalin latihan ‘ikrab tersebut di buku.
Apa yang ada di dalam fikiran saya ialah doktor seolah-olah sedang menegur beliau secara halus melalui kalam Tuhan. Doktor sedang menegur. Dan sebenarnya Allah jua sedang menegur.
‘Sesungguhnya Tuhanmu itu benar-benar memiliki keampunan buat manusia’
Mungkin sahaja detik itu dianggap biasa bagi sesetengah orang, namun itulah apa yang saya rasa. Saya terpukul dengan kejadian yang tidak saya sangka. Seakan saya turut merasa tempias teguran tersebut. Seakan teguran tu juga buat diri saya yang tidak pernah sempurna malah penuh dengan compangnya.
Dan mungkin juga saya berimaginasi terlalu tnggi atau berangan berlebih-lebihan, namun itulah apa yang saya rasa sebenarnya. Apa yang mampu saya buat adalah hanya dengan doa, semoga sahaja dia terkesan dengan ayat tersebut.
Saya memandangnya dengan pandangan yang sarat dengan rasa. Apa dia tidak terasakah? Apa dia kurang mengertikah?
Semoga saya silap dalam bersangka.
Awak yang berkaca mata duduk di hujung sana, semoga kerudung menjadi pakaianmu suatu hari nanti.
Dan sungguh, Tuhanmu itu Maha Pengampun.

Ramadan : Fasa Maghfirah
Saat artikel ini ditulis, saya memasang lagu ‘Taqwa’ yang pernah dipopularkan Opick dari Indonesia suatu ketika dahulu. Lagu ini pada saya sangat bersemangat dan bertenaga dari sudut lirik dan muziknya. Saya tidaklah bercadang untuk mengulas tentang lagu ini, cuma apa yang saya mahu kongsikan adalah liriknya.
Ku bersujud pada-Mu
Dan pasrahkan diri
Di ke-maha-anMu
Ku berlindung selalu
Pada dosa-dosa
Dan setiap salahku
Kau jagalah, lindungilah, cintailah aku.
Kita ini manusia sesungguhnya tebal dengan dosa noda. Kerana baiknya Allah kepada kita, Dia melndungi kita dari noda-noda, Dia menyembunyikan aib-aib busuk supaya kita terlihatkan baik di hadapan manusia. Pohonlah keampunan sebanyak-banyaknya, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini. Mudah-mudahan Dia menerima amal baik dan taubat kita.
Saya suka untuk mengingatkan diri saya tentang satu cerita di mana Imam al-Ghazali pernah ditanya ‘Mengapa manusia itu panjang umurnya?’ Tenang sahaja al-Ghazali menjawab, ”Satu kerana Allah mahu menyedarkan kepada manusia bahawa dosanya itu bertimbun-timbun. Dua kerana Allah mahukan manusia itu kembali kepada-Nya dengan bertaubat.”
Lalu, di manakah maqam kita?
Tidak tahukah kita umur ini masih dipanjangkan kerana dosa yang belum terampun? Sudah sedarkah kita tentang jutaan dosa yang pernah kita lakukan?
Saya belum sedar sepenuhnya. Moga Allah memberi petunjuk T.T
Dan kerana itu, saya menulis artikel ini lebih kepada merujuk diri sendiri, lebih kepada mentarbiah diri. Semoga Allah memberi petunjuk yang sebenar-benarnya serta dibukakan hati kita untuk menerimanya.
Syurga itu mahal. Kerna itu harganya juga mahal.

Kesimpulan : Selamat Jalan Ramadan
Malam terawih ke empat belas di Masjid Nuh Qudoh, Irbid. Malam itu Sheikh Makmun Syimali membaca juzuk ke-14. Oleh kerana setiap rakaat terawih menuntut masa yang agak lama, saya berkeputusan untuk memegang Al-Quran ketika bersolat terawih dan membaca terjemahannya saat Sheikh Makmun mengalunkan bacaannya yang sangat merdu.
Ternyata keputusan yang saya buat sangat tepat.
Gabungan antara alunan Al-Quran yang mengasyikkan dengan terjemahan yang menyentapkan jiwa benar-benar padu, mantap dan hebat. Banyak surah dalam juzuk ke-14 yang memikat hati saya. Antaranya surah Al-Hijr. Hati saya mula mencair apabila Allah menggambarkan syurga yang hanya dikhususkan buat orang-orang yang bertakwa. Mafhum ayat 45 dan 46 surah Al-Hijr :
“Sesungguhnya orang yang bertakwa itu berada dalam syurga-syurga (taman-taman) dan (di dekat) mata air (yang mengalir); (Allah berfirman), “Masuklah ke dalamnya dengan sejahtera dan aman.”
Dan sehingga ke seterusnya sampailah kepada ayat 49 yang menggoncangkan hati saya, penyebab saya menulis ini untuk mengungkap rasa.
“Khabarkanlah kepada hamba-hambaku, bahawa Akulah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang”
Saat itu juga, saya terasa mahu sujud sepuas-puasnya. Saat itu juga saya mahu menangis semahu-mahunya. Ketika itu saya terasa kasih dan sayang Allah sedang melimpah-limpah menimpa diri saya yang sedang bersolat. Saat itu juga saya terasa Allah sedang memujuk saya dan benar, saya terpujuk dengan kalam-Nya. Saya yang bergelumang dengan pelbagai jenis noda dan dosa, masih Allah pujuk saya dengan mengatakan Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang. Detk itu juga, saya terasa betapa baiknya Allah terhadap hamba-Nya, pengampun-Nya Dia terhadap kita dan sayang-Nya Dia terhadap makhluk-Nya ini; yang sehari-hari berbuat maksiat dan dosa; yang sehari-hari terkadang lupa kepada-Nya; yang walau sehari, tak pernah Dia lupakan kita, walau sesaat cuma.
Untuk itu, saya mahu khabarkan kepada sekalian manusia berdosa seperti saya, bahawa betapa pengampunnya Dia, Allah Tuhan kita, lalu pohonlah keampunan daripada-Nya. Semoga saja Dia menerima segala amal baik dan taubat kita dan semoga sahaja kita termasuk dalam golongan orang-orang bertakwa. Kerana ayat inilah, saya menulis artikel ini.
            Selamat kembali kepada fitrah yang suci dari noda, yang terampun segala dosa. Mudah-mudahan untuk bulan-bulan seterusnya, kita masih berterusan memohon keampunan. Mudah-mudahan amal pada Ramadan akan sentiasa diteruskan di bulan Syawal, Zulkaedah, Zulhijjah dan seterusnya sehinggalah tibanya Izrail menarik nyawa dari badan.
Awak yang membaca, manusia berdosa yang kembali lebih dicintai Tuhan. Pohonlah maghfirah-Nya.
Kita manusia pendosa, kembalilah kepada Dia. Sungguh, Dia mahu menerima hamba-hamba-Nya yang mahu kembali.

Selamat ber ‘Eidul-Fitri (kembali kepada fitrah)


0 comments:

Post a Comment