Tahniah buat pemenang karya terbaik minggu ke-2 iaitu:
Wan Nur Farhanah binti Wan Aljannah
Tahun 2
Universiti Yarmouk
Kategori cerpen
KEMBARA PETRA
Senyumku melebar ke telinga. Puas. Bebola mata aku
lotarkan ke jendela coaster. Pokok-pokok zaitun dan tanah lapang seakan padang pasir
menghiasi pandangan. Bas kecil itu terus meluncur laju menuju ke Irbid, sebuah
daerah di utara Jordan yang menjadi tempat permastautinan aku sepanjang tempoh
menuntut ilmu di sini. Mataku masih menatap ke luar jalan. Pandangan yang sama
seperti tadi. Apalah yang boleh diharapkan sangat selain rimbunan pohon zaitun
dan padang pasir yang terkadang berselang-seli dengan sekelompok unta dan
sekelompok kambing ternakan. Namun itulah yang membahagiakan aku, apa yang
tiada di tanah airku, itulah yang istimewanya tentang tanah arab.
Aku melepas lelah. Penat yang berlingkar ke
kaki dan seluruh anggota badan mula memeritkan. Kalau ini yang perlu aku bayar
demi menawan puncak Petra, aku terima. Badan yang sengal-sengal aku sandar ke
kerusi, tangan disilang ke dada tanda tidak berdaya lagi menatap suria yang
perlahan-lahan ditelan bukit-bukit batu. Faizah di sebelah sudah lama terlelap.
Bahkan hampir kesemua peserta kembara sudah lama ‘mengembara’ ke alam lain. Mata aku pejam perlahan, dan kota purba Petra
aku tinggalkan dengan sejuta kenangan.
**
Beg sandang belakang berisi tuala kecil, peralatan
diri, power bank, stok makanan ringan, spek mata hitam beserta minyak
angin cap kapak aku zip kemas. Kemudian aku sandarkan pada kepala katil. Tilam
katil yang agak bersepah dengan selimut dan bantal aku rapikan. Tanpa membuang
masa, aku henyakkan tubuh ke katil.
Lengan sebelah kiri aku letakkan di dahi. Penat juga packing barang walaupun
trip kali ini cuma sehari semalam. Bukan
penat berkemas, tapi lebih kepada penat memikirkan apa yang perlu dibawa ke
lawatan kali ini.
Mindaku mula terbayang-bayangkan Petra, kota
berdinding batu yang pernah hilang dari peradaban manusia selama lima ratus
tahun sebelum dijumpai semula oleh peneroka barat, Johann Ludwig Burckhardt
pada tahun 1812. Melihat gambar-gambar Petra di Google membuatkan aku makin tidak sabar menawan puncaknya, bertambah
teruja apabila melihat ukiran-ukiran yang maha unik dan menarik. Tanpa sedar,
bibirku mengukir senyum. Moga Allah swt permudahkan urusanku dan kawan-kawanku
nanti.
Lengan jubah aku selak sedikit. Tepat 12:00
tengah malam. Lagi dua jam setengah sebelum bertolak ke Petra. Aku bingkas bangun ke dapur, mahu
menyediakan roti sardin buat bekalan sarapan pagi esok sebelum mendaki. Sepuluh
minit kemudian, Zahirah menyertai aku untuk membuat roti sosej. Siti pula tidur
di bilik sejak pukul 11.45 malam lagi. Dimintanya aku untuk kejutkan dia pukul
02.00 pagi nanti. Penganjur program, Qusyairi sudah siap berpesan untuk
sediakan sedikit sarapan masing-masing di group Facebook untuk
mendapatkan sedikit tenaga sebelum memulakan
pendakian. Memanglah ada kedai-kedai di kawasan Petra namun yang dijualnya
bukanlah nasi minyak atau mi goreng. Lagi
pula, mana mahu cari roti sardin di kedai-kedai arab di Jordan ini! Heh.
02.50 pagi, kami bertiga berjalan menuju
Simsimah, supermarket kecil yang terkenal dalam kalangan pelajar
Malaysia di Irbid yang hanya kurang lima minit dari rumah. Seringkali Simsimah
dijadikan tempat berkumpul sejak dahulu lagi. Sesampainya di coaster,
aku mencari Faizah terlebih dahulu kerana sudah berjanji untuk duduk bersamanya.
Tangga coaster aku panjat penuh semangat, lalu aku memilih kerusi di
sebelah tingkap sebelum Faizah mengambil tempat di sebelahku. Zahirah dan Siti
masing-masing mengambil single seat di sebelah tingkap. Sekitar sepuluh
minit kemudian, Qusyairi memberikan sedikit taklimat ringkas sebelum bertolak.
Menurut beliau, kami akan sampai ke Petra sekitar empat ke lima jam kemudian. Coaster
mula bergerak perlahan lima minit kemudian sebelum berhenti di stesen minyak.
Aku dan Faizah rancak berborak demi menghalau rasa pening dan loya. Dan
akhirnya mataku memberat jua walaupun sudah berjanji untuk berjaga sehinggalah
Faizah mengejutkan aku pada jam 06.00 pagi untuk bersolat di Masjid Thoriq ila
Madinah.
**
Tanah Petra
aku jejak pada jam 08.15 pagi. Di situ, panas mula terasa walaupun sekarang
musim sejuk, hanya angin pagi yang mendamai sedikit menyejukkan. Lantas aku menanggalkan
baju sejuk. Tidak aku berhajat untuk membawanya bersama kerana di atas Petra matahari
terasa dekat di kepala. Sebaiknya peserta harus memakai seluar panjang untuk
memudahkan pendakian. Botol air mineral
aku capai dan masukkan ke beg sandang tepi. Begitu juga tuala kecil. Maisarah
teman seperjuangan yang sudah menaiki Petra beberapa hari lepas menasihatkan
kami supaya bawa air mineral sendiri kerana sebotol air mineral kecil di
kedai-kedai sepanjang pendakian boleh mencecah JD1 (RM4.60)!
Usai makan pagi, kami berkumpul di pintu masuk Petra. Kad
pelajar universiti berserta wang JD1 dikumpulkan oleh salah seorang peserta
untuk membayar tiket masuk. Kami beruntung kerana harga tiket pelajar cuma
dikenakan JD1 berbanding harga tiket untuk pelancong luar negara yang berharga
JD50 setiap seorang (RM235 mengikut kadar tukaran wang semasa). Sebelum itu
aku, Zahirah, Siti, Faizah dan lain-lain
telah membeli topi di luar pagar sebagai langkah melindungi kepala dari
berbahang. Aku dan Zahirah mengambil topi hawaii manakala Siti dan Faizah
masing-masing memilih cap yang bertulis Petra Jordan di atasnya.
Tiba-tiba terasa seperti pelancong yang bergembira melancong ke sana sini dan
lupa tujuan sebenar datang ke Jordan. Heh.
Masing-masing dibekalkan pamplet mengenai
Petra dan sejarahnya. Dari situ, baru aku tahu bahawa Petra adalah tapak kaum dan
kerajaan purba Nabatean yang datang dari semenanjung arab dan berhijrah ke
selatan Jordan. Dikatakan juga kaum ini bernasab keturunan daripada Nabi Ismail
a.s. Kota purba lama ini dikelilingi gunung batu dan dari situ dinamakan Petra
yang bermaksud “batu” dalam Bahasa Yunani. Mereka mula membentuk masyarakat dan
tamadun hebat di Petra ini. Namun,
kejayaan mereka tidak disenangi oleh kuasa dunia pada ketika itu iaitu Empayar
Rom yang sentiasa berusaha menundukkan mana-mana empayar dan kerajaan
sekeliling yang dianggap ancaman buat mereka. Kemuncaknya pemerintah Rom pada
ketika itu melancarkan peperangan terhadap Petra sekaligus menamatkan
penguasaan bangsa Nabatean di bumi Jordan. Kesannya, Petra menghilang dari peta
bumi selama ratusan tahun sebelum ditemui kembali orientalis Johan Ludwig.
Pergh! Macam tu rupanya sejarah Petra.
Kami mula memasuki jalan yang menuju ke kota
Petra. Tiket kami diperiksa dan dipuncher oleh pegawai bertugas di
sebuah pondok pengawal berdekatan. Kedai-kedai cenderamata yang menjual
pelbagai souvenir berderet di sepanjang jalan. Bermula dari situ, hormon
kegembiraan aku bertambah-tambah dan melimpah ruah ke dalam diri disebabkan
keterujaan yang melampau. Sungguh, aku sudah lama memasang impian ke Petra walaupun
aku sudah dua tahun berada di Jordan. Hari ini 23 Januari 2014 aku berjaya
menjejakkan kaki ke kota unik dan ajaib ini. Tuhan Maha Mendengar setiap
keluhan dan permintaan hamba-Nya. Indeed.
Kami sekumpulan seramai 23 orang berjalan
perlahan-lahan sambil dipandu peserta lelaki yang hanya lima orang itu. Sekitar
dua puluh minit berjalan kaki, kami sampai di pintu masuk utama yang diberi
nama As-Siq. As-Siq adalah laluan sempit dan dalam antara cenuram gunung-ganang.
Di dalamnya seakan-akan gua dimana sepanjang laluan As-Siq, terdapat tarahan di
sebelah kiri dan kanannya. Panjangnya sekitar 1200 meter dan ketinggiannya
lebih kurang 80 meter. Aku berserta kawan-kawan mula berhenti dan merakam binaan-binaan yang cukup gah dan hebat
itu menyebabkan kami tertinggal di belakang. Betapa binaannya mengagumkan
sehingga kuasa kamera tidak mampu merakam kecantikan sebenar panorama yang aku saksikan.
Sungguh, gambar yang diambil langsung tidak sama dengan keadaan yang dilihat
sendiri. Kami teruskan perjalanan sehingga bertemu pintu pertama kota Petra, Al-Khazneh
(Treasury). Maha Suci Allah! Binaannya cukup awesome dan megah.
Berkeping-keping pemandangan aku rekodkan menggunakan handphone milikku. Siti di hujung sana
ralit mengetip DSLR nikonnya. Zahirah pula menjadi model Siti manakala Faizah
sudah terkehadapan. Entah dengan siapa dia berjalan, barangkali bersama
kumpulan yang lain. Semua yang berada di situ sibuk merekod kenangan dan memori. Manakan tidak, hanya orang yang
melihatnya sahaja akan mengetahui betapa cantiknya ukiran yang terlekat di batu
yang maha besar itu. Dan untuk sampai ke tempat itu memerlukan pengorbanan
serta kaki yang kuat untuk melangkah.
Kami teruskan berjalan walau kaki mula memenat.
Di lereng-lereng Treasury, ramai arab badwi menyediakan khidmat unta, keldai
dan kuda. Mereka akan menghampiri
pengunjung dan menawarkan khidmat ke Monastery (Ad-Deir) yang berada di puncak
Petra yang semestinya menjadi destinasi terakhir para pelawat. Ramai yang
menghampiri kami tetapi setakat ini kami masih mampu bertahan. Bagi aku perjalanan
ke Monastery lebih kelihatan menarik jika tidak menggunakan sebarang haiwan tunggangan. Terlalu banyak binaan menarik yang
harus ditonton dan disentuh serta dirakam potretnya. Menurut aku, kuasa menghayati
kawasan sekitar sedikit berkurang andai menaiki tunggangan ketika mendaki. Namun
tidak menjadi satu masalah untuk menggunakan khidmat haiwan untuk sampai ke
puncak.
Melepasi Treasury, kami melalui “Street of
Facades” yang menempatkan teater, mahkamah, Makam di-Raja dan tempat
pengorbanan sebelum bertemu “Colonnaded Street” yang menempatkan
kuil-kuil, muzium, makam-makam serta restoran dan bilik air untuk pengunjung
melepas lelah di penghujung jalan. Beberapa pengunjung asing selain kami
kelihatan berehat di bangku-bangku yang disediakan di sepanjang jalan untuk
mengutip tenaga sebelum melangkah kembali. Ada yang menunggang unta dan keldai
dan ada sesetengah yang lainnya menaiki kereta kuda. Berada di tengah Petra dan
melihat situasi ini membuatkan aku
seolah-olah berada dalam tamadun Nabatean yang hebat itu. Kaki yang
sengal-sengal aku kuatkan. Tujuan kami adalah Monastery di puncak sana.
Perjalanan panjang kami teruskan sehingga sampai ke kaki pergunungan batu. Jam
menunjukkan 10:30 pagi. Sudah satu jam
dan tiga puluh minit usia perjalanan kam i. Aku jadi teringat pesanan penganjur
program supaya berada di pintu masuk Petra pada pukul 1:30 petang nanti. Melihat
pada bentuk perjalanan aku terasa mustahil. Perjalanan harus dipercepatkan. Kaki gunung kami panjat
sepenuh perasaan. Bertabahlah! Aku pujuk lembut hatiku.
**
Lapan ratus anak tangga menuju Monastery berjaya
kami panjat dengan lelah dan nafas tercungap-cungap. Kali ini perjalanan lebih
mencabar apabila jalan yang kami panjat berupa batu-batan yang membentuk gunung
dan sudah semestinya curam dan licin dan membuatkan pendakinya lebih mudah
penat dan tercungap. Ada beberapa gaung dalam yang terbentuk dan untuk
menaikinya mestilah berhati-hati. Banyak kali aku berhenti untuk melepas lelah
dan menghilangkan dahaga. Matahari pula terasa tegak di kepala. Sungguh tidak
terdaya. Serasa dada berombak kuat dan jantung mengepam laju. Mahu pecah
rasanya. Tapi aku kuatkan hati dan semangatku. Bila lagi mahu lengkapkan pendakian
kalau bukan hari ini. Biarpun kami bertiga dan ada lagi beberapa orang peserta
trip kami menjadi antara orang terlambat dan terkebelakang, namun kami tetap mahu menghabiskan jalan ini. Biarpun lambat, kami tetap mahu sampai
ke puncak.
Dan akhirnya sekitar jam 12 tengah hari, kami tiba di Monastery. Sesampainya kami
di binaan gah itu dan merupakan monumen terbesar Petra, perkataan pertama yang
terluncur keluar dari mulutku ialah “Alhamdulillah”
sebelum diikuti “Subhanallah”. Syukur kami diberi kesempatan dan peluang
untuk sampai ke puncak dan segala puji bagi Allah apabila terlihatkan binaan megah itu. Sungguh ia terlalu besar dan hebat.
Terasa seperti kerdil di hadapan ukiran tidak bernyawa itu. Lalu bagaimanakah pula perasaanku ketika menghadap Tuhan Maha
Kuasa di Hari Pengadilan nanti? Sesungguhnya Perta sangat menginsafkan aku.
Handphone aku keluarkan. Beberapa keping gambar
Monastery aku ambil sebagai syarat berjaulah sebelum meminta Siti mengambil gambar kami menggunakan
kameranya. Manakan sama kualiti gambar handphone
dibandingkan DSLR! Sepuluh minit disitu sebelum kami memanjat bukit kecil yang
membawa kepada “The Best View Of Monastery”. Di atas sana ada warung kecil dan
sudah semestinya pelajar lelaki juga berada di sana yang sudah sampai awal daripada
kami!
**
Berada di puncak Petra benar-benar membuatkan aku
terlupa segala perit mendaki dan semua penat yang berlingkar di urat-urat kaki.
Menikmati pandangan terbaik Monastery juga membuatkan aku leka dan langsung
lupa tentang pedih memanjat dan lelah tercungap. Biarpun aku mengambil masa lebih kurang tiga jam lebih dan menjadi antara orang
terakhir sampai ke puncak, namun aku berbangga kerana telah berjaya menamatkan
perjalanan. Sungguh, Allah swt bantu aku dengan menguatkan kaki dan semangat
demi melihat kebesaranNya di puncak Petra. Alhamdulillah.
Kota
purba lama Petra sangat masyhur dalam kalangan ahli arkeologi, geologi dan sebagainya
sebagai tapak mengkaji seni bina dan sejarahnya selain terkenal sebagai pusat
pelancongan dalam kalangan orang awam. Ia merupakan “World Heritage Site” dan
termasuk dalam salah satu daripada 7 Keajaiban
Baru Dunia pada tahun 2007 dan Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1985 lagi.
Petra juga dipilih oleh British Broadcasting Corporation (BBC) sebagai satu
daripada “40 tempat yang anda mesti lihat sebelum mati”
Dari
Petra, aku temui sesuatu. Dengan Petra juga aku belajar tentang sesuatu. Walau
sepenat mana kau melangkah, kau pasti jua tiba di penghujungnya. Walau sepenat
mana kau dengan dunia, beringatlah kau punya syurga yang menunggu di hari sana.
Berkuatlah. Bertabahlah mengharung mehnah tribulasi dunia yang tidak pernah
surut malah bertambah pasang pula. Bersusah-susahlah kau di dunia, semoga kau
tersenyum di negeri sana.
“Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa
setelah lelah berjuang” – Imam Syafie
0 comments:
Post a Comment