Wednesday 12 June 2013

APA YANG ANDA TAHU TENTANG THOFILEH?

Sejarah Thofileh,Mu’tah
   Thofileh ialah satu nama tempat yang terletak di selatan negara Jordan yang dahulunya dikenali sebagai Taflus.Taflus(bukan perkataan Arab) maksudnya mengikut bahasa Arab ialah mantiqah jabaliyyah(tempat berbukit).Negara Jordan secara amnya terbahagi kepada beberapa kawasan iaitu kawasan berbukit,padang pasir dan kawasan mendatar(ghour).Ghour pula terbahagi kepada beberapa kawasan antaranya ghour syimali,ghour soofi dan lain-lain.Secara kasarnya kita boleh melihat Thofileh ialah salah satu kawasan berbukit yang lebih menghijau berbanding kawasan sekitarnya di Karak.
   
    Di sini,terdapat tempat-tempat bersejarah yang boleh kita lawati seperti maqam, *dhorih para sahabat Rasulullah SAW dan qol’ah(kota lama).Contoh maqam sahabat ialah maqam Al Haris bin Umair Al Azdi dan maqam Farwah Ibnu Amru Al-Juzami sementara dhorih sahabat pula antaranya ialah dhorih Kaab Ibnu Umair Al-Ghifari dan Jabir Al Ansori.Selain itu,qol’ah atau kota lama yang terkenal di sini ialah Qol’ah Thofileh,Qol’ah Silaq,Qol’ah Hissa dan banyak lagi.
    Menurut ahli sejarah,Thofileh jatuh pada tangan Islam selepas berlakunya dua perang iaitu perang Mu’tah dan perang Yarmouk.Perang Mu’tah terjadi disebabkan pembunuhan Al Haris Ibnu Umair Al Azdi ketika beliau diutuskan oleh nabi kepada Raja Busyro yang bernama Syurahbil Ibn Amru al-Ghassani ketika zaman pemerintahan Rom di bawah pimpinan Raja Kaisar.


Asal usul kabilah Arab
Kabilah Arab terbahagi kepada tiga iaitu:
1.Arab Baidah   (البائدة)
2.Arab ‘Aribah(العاربة)
3.Arab Musta’ribah  (المستعربة)
   Kabilah Arab Baidah ialah kaum arab yang telah dihancurkan oleh Allah seperti kaum Aad,Thamud dan lain-lain sedang kabilah arab ‘Aribah pula adalah kabilah asal bagi orang arab dan dikatakan asal orang arab adalah daripada kabilah ini.Kabilah al-‘Aribah dinisbahkan kepada kabilah Qohtoniyyah yang berasal daripada Yaman.Sejarah mengukirkan,golongan arab pernah membentuk kerajaan di Yaman antaranya kerajaan Saba’ yang dipimpin oleh beberapa pimpinan termasuk Ratu Balqis iaitu raja perempuan yang memerintah pada zaman Nabi Sulaiman AS.Salah seorang sahabat yang bernama Al Haris bin Umair berasal daripada keturunan Al Azdi yang mana kabilah Al Azdi itu merupakan kabilah arab Qohtoniyyah ini.
 
   Kabilah Arab Musta’ribah pula adalah kabilah yang berasal daripada keturunan Nabi Ismail AS.Asal kabilah ini adalah dari luar negeri arab tetapi digabungkan dengan bangsa arab kerana asal usulnya daripada Nabi Ismail AS  dan baginda anak kepada Nabi Ibrahim AS yang mana baginda bukan daripada bangsa arab.Baginda berasal daripada satu tempat yang dinamakan Our di Iraq.Susur galur keturunan kabilah Musta’ribah ini bermula ketika Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah ke Mekah dan baginda meninggalkan anak baginda Nabi Ismail AS dan isteri baginda Hajar di sekitar kawasan Mekah.Ditakdirkan tempat Nabi Ismail AS dan Hajar ditinggalkan itu telah keluar air mata air yang dinamakan Zam zam sehingga menarik golongan arab yang tinggal di sekitar Mekah untuk tinggal di situ untuk mendapatkan sumber air.Setelah itu,berlaku perkahwinan di antara Nabi Ismail AS dengan golongan arab ini dan bermulalah susur galur keturunan arab Nabi Ismail AS (Musta’ribah) sehingga sekarang.


*Dhorih : Tubuh orang yang mati ditanam di situ
 Maqam:Tempat persinggahan dan ada yang mengatakan maqam juga ditanam tubuh orang yang mati di situ.

Sumber     :Ustaz Syaafiq bin Zakaria
Disunting oleh:Biro Penerangan dan Penerbitan