Kategori Cerpen
oleh:Wan Nur Farhanah,
Tahun 2,Universiti Yarmouk
ESOK
Petang itu
sewaktu menuju ke jamiah sendirian, aku dilanda rusuh tanda aku punya
masalah sendiri. Masalah tersebut sebenarnya sudah tidak dapat diselesaikan.
Terkadang wujud masalah yang tidak punya jalan keluar. Dan aku sedang menghadapi
saat itu ketika ini. Waktu ini. Aku tahu, manusia pasti sentiasa akan berada
dalam masalah tetapi bagiku masalah yang aku hadapi ini adalah perkara terbesar
dan sangat mengganggu hidupku.
Petang itu aku
jalan perlahan. Aku seret kaki ini pelan-pelan. Tanda cukup tidak bersemangat.
Namun, kuliah harus dihadiri. Muka monyok usah dikira. Seakan untuk mengukir
senyum kepada sesiapa menjadi satu tugas berat buat aku. Di penghujung bulatan
penumbuk menuju Kuliah Syariah, aku terserempak dengan Aini. Dia junior sewaktu
sekolah menengah dulu. Bibir ini aku paksa ukir sebuah senyuman padanya. Yalah,
mana mungkin aku tidak senyum kepada bakal adik ipar aku sendiri. Hihi
“Kakak, jangan senyum kalau tak
ikhlas” laju dia menutur kata.
Aini sangat jujur. Bahkan terlalu
jujur. “Tak tahulah Aini. Kakak rasa hilang sangat ni” aku terus-terang.
“Sudahlah tu kakak. Bukan Allah
buat semua tu untuk sia-sia. Adalah tu benda yang Dia nak bagi kat kakak. Dia
ambil sikit je dari kakak. Mungkin sebab Allah nak bagi banyak kat kakak? Sebab
tu Dia ambil sikit dari kakak. Mana tahu kan? Kakak jangan risau ye?” Dia
usap-usap bahuku.
Aku cuma mengangguk lemah.
“Pergi dulu kakak. Ada hal sikit
dekat rumah. Eh lupa nak bagitahu. Oren dah beranak tau. Tiga ekor anak dia.
Comel-comel pulak tu. Tapi warna oren macam dialah” dia bercerita semangat
sambil mengangkat tiga jari tengah. Bersungguh dia membela kucing jalanan yang dia
jumpa tepi tong sampah berhampiran PUSKOM bulan lepas.
“Nanti datanglah tengok baby
Oren. Bawaklah buah tangan sikit, buah epal pun okey dah kakak. Untuk Ainilah,
bukannya untuk Oren. Alang-alang nanti datang boleh skype dengan abang sekali. Hehe”
Aku senyum tawar. Haih. Sempat
lagi dia mengusik. Apa kaitan entah kucing oren dia tu dengan abang dia.
“Dah pergi. Kakak dah lewat ni”
halauku cepat. Muka aku tahan sebolehnya. Panas juga rasa di pipi.
Aini melambai pergi. Ceria sekali
orangnya sehingga ramai orang menyenanginya termasuk aku. Dan Ainilah yang
melamar aku untuk abang sulungnya. Katanya aku seorang kakak yang tabah dan
kuat. Dan dia mahu menyerap segenap kekuatan itu daripada aku.
Tapi itu dahulu. Itu ketika zaman
kegemilangan aku. Sekarang aku sudah menjadi seorang kakak yang mudah lemah dan
menangis. Kali ini bila aku merasa kehilangan, aku cepat melatah. Tidak seperti
dulu aku terlalu mengahargai dugaan dan mehnah. Dulu aku menganggap ujian dunia
sebagai jambatan ke syurga tapi sekarang, seakan aku terhijab dari melihat
semua itu. Aku melihat masalah cuma membawa kepada kesusahan dan tiada jalan
keluar, bukan lagi sesuatu yang membuahkan pahala. Oh malangnya hidup aku.
“Ya Allah, pinjamkan aku sedikit
kekuatan” rayu aku sayu.
Esok hari Jumaat. Doktor Abdul Majeed
menyudahkan kuliah petang itu dengan menyeru semua pelajarnya untuk
memperbanyakkan ibadah sunat pada esok hari. Dan antara tuntutan yang sering
beliau tekankan adalah membaca Surah Kahfi. Dotor ada menceritakan sedikit
tentang kisah Nabi Musa dengan Khidir. Tetapi ingatan aku seakan melayang. Aku langsung
hilang fokus sejak berlaku kejadian hitam itu. Mujurlah hari ini dua daripada
tiga kuliahku batal kerana doktor menghadiri Munaqashah Ilmi di Amman.
Lima minit kemudian, kuliah
bersurai. Aku menapak lambat pulang ke rumah.
**
Usai solat maghrib, aku capai Al-Quran
terjemahan pemberian ibu di atas meja. Aku mengambil tempat di atas katil. Muka
surat 293 aku selak. Surah ke-18 itu aku baca perlahan. Bila tiba ayat ke-60
yang bercerita tentang Nabi Musa dan Khidir, aku jadi teringat tazkirah Doktor
Abdul Majeed petang tadi. Lantas aku baca penuh khusyuk maksud ayat-ayat
tersebut.
“Adapun perahu
itu adalah milik orang miskin yang berkerja di laut; aku bermaksud
merosakkannya, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang akan merampas
setiap perahu”
Aku tersentap. Rupanya ini jawapan
kepada persoalan Nabi Musa yang tidak sabar untuk mengetahui tentang mengapa Khidir
melubangi perahu ketika kedua mereka menaikinya. Lantas aku sambung pembacaan.
“Dan adapun anak
muda yang kafir itu, kedua orang tuanya mukmin, dan kami khuatir kalau dia akan
memaksa kedua orang tuanya kepada kesesatan dan kekafiran”
Aku angguk perlahan. Patutlah
Khidir membunuh pemuda tersebut yang dilihat sebuah jiwa yang bersih oleh Nabi
Musa pada ayat-74. Cepat-cepat aku teruskan pembacaan untuk mengetahui sebab Khidir
menegakkan dinding rumah atau tembok yang condong dan hampir roboh di negeri
yang mereka pergi itu.
“Dan adapun
dinding rumah itu adalah milik dua anak yatim di kota itu, yang di bawahnya
tersimpan harta bagi mereka berdua, dan ayahnya seorang yang soleh maka Tuhanmu
mengkehendaki agar keduanya sampai dewasa dan keduanya mengeluarkan simpanannya
itu sebagai rahmat dari Tuhanmu.”
Betullah. Allah buat sesuatu
bukan sia-sia. Aku berhenti sekejap menarik nafas.
“Apa yang aku
perbuat bukan menurut kemahuanku sendiri. Itulah keterangan perbuatan-perbuatan
yang engkau tidak sabar terhadapnya”
Sekali lagi aku tersentap. Ayat
terakhir itu bagaikan merentap tangkai jantungku. Cerita perihal sabar.
Sebenarnya adakah aku tergolong dalam puak manusia yang kurang bersabar?
Tiba-tiba hati aku menjadi sayu. Terasa seperti Allah seolah-olah bercakap
denganku. Terasa seperti Allah memujuk lembut hatiku. Aku tutup Al-Quran
terjemahan berwarna coklat itu dengan kemas. Mataku memandang ke hadapan tanpa
isi. Kosong. Allah perintahkan Khidir buat sesuatu yang kelihatan tidak elok
tetapi sebenarnya sangat baik di masa hadapan. Allah lebih tahu apa yang Nabi
Musa tidak tahu.
Allah buat sesuatu bukan sia-sia.
‘Cuba kau sabar, mesti nanti tersingkap apa yang terlindung’. Ada satu suara
bergema di telinga. Tapi kenapa aku kurang sabar ya? Apa sebenarnya yang Allah
nak bagi kat aku ni?
Tiba-tiba dada terasa berombak.
Sayu mengenang lemahnya diri. Betapa perlunya aku yang daif ini kepada kuasa
bertuhan. Hati mula menjadi sedih.
Allah buat sesuatu bukan sia-sia.
Handphone Sonyku
berbunyi. Ada notification facebook masuk. Aku capai dan terus
membukanya. Aini. Apa pulak budak kecil ini conteng di dinding mukabukuku?
“[3:139] :) [2:177] Jadi kuat
kakak”
Cuma sebaris nombor dan smiley yang
tersenyum. Serta kata hikmat dia.
Aku pejam mata rapat-rapat. Aku
tahu nombor itu. Aku kenal sangat nombor itu. Aku arif benar apa kandungannya.
Sony Experia aku campak ke tepi. Al-Quran
di tangan aku rapatkan ke dada. Sebak mula menguasai diri. Aku rapatkan mata
serapatnya. Aku selesa dengan gelap yang aku ciptakan sendiri. Perlahan,
kandungan ayat 139 Surah Al-Imran bergema kuat di dalam benakku.
“Dan janganlah
kamu merasa lemah, dan jangan pula bersedih hati, sebab kamu paling tinggi
darjatnya, jika kamu orang yang beriman”
Air mata mula merembes laju. Esak
mula kedengaran. Aku tidak dapat perasaan yang membuak-buak masuk dan memukul
dadaku. Aku semakin menguatkan dakapan Al-Quran ke dada. Mata semakin aku
rapatkan, seolah tidak mahu lagi terbuka. Seakan ayat-ayat Al-Quran itu
diturunkan untuk aku.
“.. dan orang
yang sabar dalam kemelaratan, penderitaan dan pada masa peperangan. Mereka
itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa”
Esak tangis aku mula kedengaran. Ayat
177 Surah Al-Baqarah berjaya menawan hatiku. Kesabaran yang baik. Orang yang
bertaqwa. Darjat tinggi. Orang beriman. Akhirnya hatiku terbuka menerima
takdir. Aku mula boleh menerima kenyataan. Kehilangan kucing kesayangan dua
hari lepas benar-benar menggugat fokus dan konsentrasi aku dalam pelajaran dan
kehidupan. Aku sangat menyayanginya. Bahkan kucing itulah peneman sejak aku
mula jejakkan kaki ke Jordan. Jaguh nama dia.
Jaguhlah teman baikku. Jaguh
jualah teman bergaduh aku. Jaguh kucing yang baik. Dia selalu kejutkan aku
untuk bersubuh. Dia sering masuk ke dalam selimut dan menjilat mukaku.
Hari-hari hidup aku dipenuhi cerita dia. Jaguh selalu menemani malam berjagaku
bila tiba musim peperiksaan. Dia selalu menyendengkan badannya ke tangan aku
bila terlihat aku mengantuk dan tersengguk. Dia juga selalu bersama tika
susahku. Mengiau-ngiau tanda setuju bila aku bercerita sesuatu padanya. Jaguh
selalu menyahut segala apa yang aku cakap padanya walau aku cuma membebel
seorang diri. Dia makhluk terhebat yang pernah Tuhan hantarkan untukku.
Jaguhlah dunia aku. Tiada yang lainnya.
Tapi kini dia tiada lagi. Tiada
lagi jilatan pada muka sewaktu azan subuh. Tiada lagi peneman study
malam-malam. Tiada lagi yang menyahut aku bila aku membebel-bebel tidak puas
hati. Tiada lagi dia. Tiada lagi cerita Jaguh dalam hidup aku. Aku jadi rindu.
Aku rindu sangat pada Jaguh.
Terima kasih Aini. Terima kasih
Allah. Sesungguhnya aku sudah terpujuk dengan kalam-Mu. Terima kasih ya Tuhan
kerana menyedarkan aku. Sesungguhnya aku mesti bertabah atas kehilangan. Aku
mesti kuat menghadapi dugaan. Jaguh pergi menghadap Penciptanya Yang Agung.
Kenapa perlu aku risaukan dia? Jaguh pasti senang berada di syurga. Dan berkemungkinan
dia sedang menunggu aku untuk mengikutnya sama.
Jaguh pergi menghadap Tuhannya.
Dan aku tidak redha atas realiti itu? Alangkah malangnya kefuturan aku untuk dua
hari ini. Menghukum diri atas takdir Tuhan. Ampunkan aku ya Allah..
Satu sms masuk ke peti kotak
mesej Sonyku. Aku membuka mata. Air mata di pipi aku biarkan. Dari budak kecil
tu lagi rupanya.
“Jadilah jaguh buat Tuhanmu
seperti Jaguh yang berbakti kepada tuannya. Dan dia pergi saat tibanya dia
harus pergi, seperti jua engkau yang akan pergi bila tiba masanya nanti. Moga
kakak bertemu Jaguh di syurga. Jadi kuat kakak J”
Aku senyum. Kali ini terasa
manisnya. Terima kasih Aini sayang.
Aku fikir aku lemah tanpa Jaguh. Semoga
kematian Jaguh lebih menghidupkan aku dan lebih membawa aku mengenal Tuhan.
Mungkin inilah hikmahnya. Aku jadi lebih rapat dan dekat dengan Allah sejurus
selepas Jaguh pergi tinggalkan aku.
Dan ya, Allah tidak buat sesuatu
untuk sia-sia. Bersabarlah untuk melihat tersingkapnya apa yang tidak pernah
kau tahu. Moga esokmu cerah dan lebih mengenal Tuhan.
0 comments:
Post a Comment