Friday 24 June 2011

Kenaikan Zakat : Harapan MAIDAM dan PUTRA

Assalamualaikum w.b.t.


Alhamdulillah. Mari sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah Ta'ala atas nikmat Islam dan Iman serta segala limpah kurnia yang telah dianugerahkan kepada kita. Selawat dan salam ke atas junjungan paling terpuji nabi Muhammad s.a.w., ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda, serta seluruh tabi'in dan solehin.

Baru-baru ini kita telah digembirakan dengan kenaikan kadar zakat bagi para pelajar bawah tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Jordan. Kenaikan yang dibuat tersebut adalah amat bersesuaian dan bertepatan dengan kos sara hidup para pelajar di sini yang semakin meningkat terutama dari aspek kos yuran pengajian.

Justeru, saya amat berbesar hati untuk menyampaikan sedikit harapan dari pihak MAIDAM yang mana saya fikir adalah sangat perlu untuk diambil perhatian oleh setiap ahli PUTRA umumnya, dan para  pelajar tajaan MAIDAM khususnya.



Sebenarnya, kelulusan kadar kenaikan zakat ini adalah berdasarkan pertimbangan dan perbincangan yang telah dibuat oleh pegawai-pegawai serta ahli mesyuarat pihak MAIDAM yang berpengalaman. Mereka telah mempertimbangkan pelbagai aspek yang berkaitan serta turut merujuk pihak pimpinan PUTRA dalam perbincangan mereka sebelum meluluskan keputusan ini.

Selain itu, pertimbangan tersebut juga turut didorong oleh kadar pinjaman pihak penaja lain yang turut meningkat.

Justeru, seharusnya kita bersyukur dengan bantuan besar yang telah diberikan ini dan tidak mempertikaikan keputusan mesyuarat yang telah dijalankan oleh pihak MAIDAM, kerana kadar zakat baru yang telah ditetapkan pada kali ini adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar sebelumnya.

"Kita tidak mahu lapangan da'wah dan perjuangan kita menegakkan kalimah Allah menjadi sempit kelak dek kedangkalan tindakan kita di hari ini."

Selain itu, ingin saya nyatakan di sini bahawa pelajar-pelajar Terengganu di Jordan mempunyai rekod nama yang bersih dari sebarang masalah dengan pihak kerajaan Terengganu. Ini secara tidak langsung turut memudahkan kita mendapat pelbagai bentuk bantuan dari pihak mereka serta pihak-pihak lain yang berkenaan.

Maka dengan ini, besarlah harapan saya serta seluruh pimpinan PUTRA sesi 2010/2011 ini untuk melihat kita semua sebagai anak Teregganu bersama-sama menjaga nama baik dengan memberi kerjasama dan sokongan sebaiknya kepada organisasi-organisasi kerajaan yang berurusan dengan kita di Jordan ini.

Percayalah, semua yang kita lakukan ini adalah demi kemaslahatan pengajian kita dan generasi seterusnya di masa akan datang. Setiap apa yang kita lakukan ini secara tidak langsung adalah demi menjaga agama dan pegangan kita terhadap Islam yang kita perjuangkan. Kita tidak mahu lapangan da'wah dan perjuangan kita menegakkan kalimah Allah menjadi sempit kelak dek kedangkalan tindakan kita di hari ini.

Akhir kalam, kami mengucapkan sekalung tahniah kepada pelajar-pelajar Terengganu tajaan MAIDAM atas kenaikan kadar zakat ini. Semoga wang zakat yang diberikan dapat meringankan beban yang ditanggung sepanjang pengajian sekaligus membantu meningkatkan prestasi akademik masing-masing. Kami turut berharap agar bantuan zakat ini dapat digunakan pada jalan yang sepatutnya serta tidak dibazirkan pada hal-hal yang tidak berkaitan dengan pengajian.


Sekian.

Mohd Aisamuddin Bin Ibrahim,
Yang Dipertua DiPertanggungjawab,
Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA),
Sesi 2010/2011.



2 comments:

  1. mohon juga dari Tuan YDP untuk memohon supaya YT meringankan syarat bayaran pinjaman YT. mohon diletakkan peratus pembayaran balik mengikut keputusan imtihan macam MAIDAM juga..

    Terima Kasih PUTRA!

    ReplyDelete
  2. Muhammad Hanif,

    Ana telah berbincang dengan pihak YT berkenaan hal tersebut. Surat telah disediakan dan insyaallah akan dihantar dalam masa terdekat untuk dibincangkan dalam mesyuarat YT. Kita akan cuba mohon supaya peratus pembayaran semula pinjaman dikembalikan seperti asal, iaitu mengikut keputusan keseluruhan di akhir pengajian nanti =)

    Trima kasih atas komen anda.

    ReplyDelete