Tuesday 1 February 2011

Kenyataan PUTRA Terhadap Isu di Mesir



Assalamualaikum w.b.t 
Semoga semua ahli PUTRA sentiasa dilindungi Allah tidak kira di mana anda berada. Alhamdulilah kita masih dikurniakan dua nikmat terbesar iaitu ; nikmat Islam dan nikmat Iman. Tidak dilupakan, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad S.A.W.

Sepertimana yang kita tahu, telah genap seminggu demonstrasi untuk menjatuhkan rejim kerajaan Mesir pimpinan Husni Mubarak oleh rakyatnya sendiri. Usaha yang diketuai oleh Mohamed Elbaradei bagaikan tiada tanda henti sehingga Presiden Husni Mubarak mengundur diri ataupun digulingkan walaupun berhadapan dengan pasukan tentera dan polis yang dikerah bagi menyekat kemaraan rakyat.

Demonstrasi ini terhasil selepas melihat kejayaan revolusi di Tunisia yang telah menggulingkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali baru-baru ini. Sebagaimana yang telah kita maklum, keadaan di Mesir kini semakin meruncing disebabkan kedegilan Husni Mubarak yang sanggup untuk memerangi rakyatnya sendiri. Sehingga kini, ratusan nyawa telah terkorban dan ribuan lagi tercedera.

Dalam usaha segolongan yang mahu menumbangkan kezaliman dan menegakkan keadilan, muncul golongan yang mengambil kesempatan di atas keadaan yang huru-hara. Jenayah berleluasa bagaikan tiada undang-undang. Rompakan dan pergaduhan, penjara dipecahkan, bangunan dibakar dan banyak lagi.

Alhamdulillah, kerajaan Malaysia juga sedang berusaha untuk memindahkan segera semua 11,319  orang rakyat Malaysia di Mesir ke negara yang berdekatan seperti Libya, Arab Saudi, dan Jordan melalui jalan laut dan jalan udara selepas keadaan semakin kritikal dan tidak terkawal.

Di kesempatan ini, saya mengharapkan keprihatinan semua ahli PUTRA untuk mengikuti perkembangan di Mesir dari semasa ke semasa. Dan untuk pengetahuan semua, terdapat ahli PUTRA yang terkandas di sana termasuk dari ahli pimpinan tertinggi PUTRA sendiri. 

Akhirnya, saya menyeru agar kita semua dapat mendoakan keselamatan semua yang berada di Mesir umumnya dan ahli PUTRA yang masih tersekat di sana khususnya. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan mereka,Ameen.

"Ke Arah Kegemilangan PUTRA"


Amir Siddiq Bin Hasnan
Setiausaha Agung
Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan



0 comments:

Post a Comment