Wednesday 9 May 2012

PERUTUSAN TIMBALAN YANG DI-PERTUA PUTRA


Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada pemilik langit dan bumi dan apa yang ada diantaranya, atas kurniaan nikmat yang tidak terhitung untuk hamba-hambaNYA di dunia ini. Selawat dan salam juga atas junjungan baginda kekasih Allah S.W.T, Nabi Muhammad S.A.W.

وَإِن تَعُدّوا نِعمَةَ اللَّهِ لا تُحصوها ۗ إِنَّ اللَّهَ لَغَفورٌ رَحيمٌ

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (An-nahl,18)
Setelah hampir setahun berlalu, pentadbiran pimpinan PUTRA sesi  2011/2012 hampir ke penghujungnya, kini tiba masanya sekali lagi untuk kita sama-sama berkumpul dan berukhuwwah dalam Mesyuarat Agung Tahunan PUTRA Kali ke-13 yang insyaAllah akan diadakan pada hari Jumaat, 11 Mei 2012 bertempat di Irbid, Jordan.

Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah sebagai satu ruang kepada semua ahli PUTRA untuk berbincang dan bermuhasabah bermula dari pembentangan laporan aktiviti PUTRA sesi 2011/2012, sehinggalah perbincangan mengenai sebarang masalah yang timbul sama ada di kalangan pimpinan atau ahli. Peluang ini haruslah kita ambil dan optimumkan sebaiknya bagi menyuarakan hasrat dan pandangan masing-masing.
Banyak pengalaman dan pengajaran telah diperoleh sepanjang menguruskan pentadbiran PUTRA pada sesi kali ini. Banyak program yang dirancang telah berjaya dijalankan antaranya Seminar Sains dalam Islam (SMESI 12), Skim Sri Iman, Hari Keluarga PUTRA dan lain-lain. Moga-moga program yang dirancang dapat memenuhi kebajikan dan keperluan ahli InsyaAllah.

Alhamdulillah, Skim Sri Iman yang julung-julung kalinya kita jalankan telah mendapat sambutan dan sokongan yang baik daripada ahli PUTRA. Dana yang berjaya dikumpul cukup menggembirakan kami. Terima kasih kami ucapkan kepada kalian atas sumbangan yang diberikan. InsyaAllah kami akan berusaha sedaya mungkin untuk mengedarkan dana tersebut kepada mereka yang selayaknya.

Apa yang kita harapkan adalah agar semua warga PUTRA dapat sama-sama turun dan memberikan komitmen kepada mesyuarat kali ini, di samping dapat menyumbangkan idea-idea dan cadangan bernas bagi memperkasakan lagi sesi kepimpinan 2012/2013 nanti. Semua usaha ini dapat kita simpulkan sebagai suatu bentuk usaha tolong-menolong sesama kita dalam meningkatkan kualiti hidup kita sebagai seorang Muslim.
Saya mewakili sesi kepimpinan PUTRA 2011/2012 mengambil peluang dalam kalam ini untuk memohon ribuan kemaafan dari seluruh warga PUTRA andaikata terdapat salah dan kekurangan dari pihak kami, ada hak-hak yang tidak tertunai, ada kebajikan ahli yang terabai, atau mungkin ada janji yang tidak terlaksana. Kami telah melakukan usaha-usaha yang sepatutnya, namun sebagai manusia biasa, kami tidak terlepas dari kesilapan.

Terima kasih juga kami ucapkan kepada anda semua kerana telah berkerjasama dan memberikan komitmen yang sangat baik bagi memastikan PUTRA dipacu lurus ke hadapan untuk merealisasikan motto PUTRA pada sesi kali ini – PUTRA IMTIAZ. Hanya Allah s.w.t. sahajalah yang dapat memberikan ganjaran atas sumbangan ikhlas anda.

Akhir kata, kami menyeru seluruh warga PUTRA untuk sama-sama hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan kali ini dan mengambil manfaat penuh daripadanya.
Sekian, terima kasih.


Noor Ridzuan bin Mohamad,
Timbalan Yang Dipertua,
Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA),
Sesi 2011/2012.

0 comments:

Post a Comment