PUTRA mengucapkan selamat datang dan ahlan wasahlan wa marhaban bikum kepada seluruh mahasiswa baru serta delegasi daripada Yayasan Terengganu ke bumi Jordan.Semoga para mahasiswa serta mahasiswi baru dapat menyesuaikan diri di tempat baru dengan semangat menuntut ilmu yang tinggi.
Menuntut ilmu,walau di mana jua ilmu itu ditimba sama ada di kampung atau di bandar,dalam atau di luar negara sekalipun di hujung dunia,niat adalah antara subjek terpenting bagi seorang penuntut ilmu.Tanpa niat yang ikhlas kerana Allah,layakkah kita dipanggil seorang tholibul 'ilm yang mana darjatnya setaraf jihad fisabilillah?Sebagaimana hadis
" Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : - ' Hanyasanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.'
Begitulah,apabila merantau untuk menuntut ilmu,sentiasalah tajdid niat supaya tujuan kita tidak menyeleweng daripada misi asal untuk meraih redha-Nya.Kuatkan diri dengan iman dan taqarrub kepada Allah supaya dengan itu kita sentiasa sedar bahawa menuntut ilmu di luar negara bukan untuk mengejar kemegahan atau sanjungan,bukan pula sekadar ingin mengumpul pengalaman..kita sebenarnya membawa misi yang besar iaitu menyelamatkan ummah yang sedang kegersangan kala ini.Bukan sahaja ummah di Malaysia bahkan ummah Islam sedunia.Kita juga menjunjung amanah yang besar untuk mengibar panji-panji Islam ke merata dunia,menghentikan kezaliman dan keganasan,mengembalikan sistem ekonomi Islam yang terkubur dan segala-galanya yang jauh daripada kehendak syariat.
Dalam masyarakat,kita disanjung kerana ilmu yang ada bukan bermakna kita harus bermegah-megah dengan status sebagai mahasiswa 'oversea'.Oleh itu,seharusnya kita sebagai ejen perubah masyarakat sudah memulakan langkah pertama untuk menyiapkan diri untuk membawa masyarakat ke arah yang lebih baik.Bina perancangan dan wawasan yang ingin dicapai sama ada jangka masa pendek atau panjang.Atur masa sebaik-baiknya supaya nilai masa dapat dimanfaat semaksima mungkin.Seterusnya,dengan semangat dan tenaga yang ada,berusahalah dan lakukanlah dengan bersungguh-sungguh bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.Ambillah peluang belajar di luar negara khususnya di Jordan ini untuk mempertingkatkan bahasa Arab dan menguasainya dalam perbualan dan pergaulan.
Ingatlah,ummah sangat memerlukan kita..
Ditulis oleh: BPP PUTRA 2013