Monday, 24 June 2013

MULIANYA SYA'ABAN

Ahmad: Jom  pose esok!
Muhammad: Esok? Nnape nop pose esok..?  Dop ramadhan lagi kan? Eh.
Ahmad: Astaghfirullah akhi.. Esok 15 Sya’ban, maknanya, esok, nisfu sya’ban~
Muhammad: Astaghfirullah, boleh pulop  terlupa. Jazakallah akh, ingatkan..
Ahmad: Alhamdulillah, Allah yang ingatkan ana. Kitakan kena saling ingat-mengingati.

   Inilah antara dialog-dialog yang berlaku dalam kalangan umat Islam kini. Hari-hari Allah itu sememangnya perlu diperingatkan sesama kita Umat Islam kerana kita ini alpa. Tambahan pula dengan fitnah penggunaan kalendar Gregorian Miladi atau Masehi itu menjadikan umat Islam semakin jauh dan tercuai daripada mengingati ‘hari-hari Allah’.

   Bulan Sya’ban adalah bulan yang mulia. Kenapa? Kerana bulan sya’ban berada di antara dua bulan mulia, iaitu bulan Rejab sebelumnya (padanya, Rasulullah sallallahu 3alaihi wasalam melakukan Isra’ Mikraj), dan bulan Ramadhan selepasnya (padanya, umat Islam diwajibkan berpuasa dan adanya malam al qadar).
Apakah peristiwa yang berlaku dalam bulan Sya’ban pula? Antum fillah, jangan buat-buat lupa.. Ada dua peristiwa yang perlu kita ingat dalam bulan mulia ini. Pertamanya, peristiwa pertukaran Qiblat, dan keduanya, nisfu sya’ban.

   Peristiwa yang paling bersejarah yang berlaku pada bulan Syaaban ialah peristiwa pertukaran kiblat. Allah s.w.t telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara` bin Azib maksudnya: "Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmaqdis selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar.”

Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah. Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ``Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ``Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Ada dua pengajaran penting yang perlu kita jadikan amalan dalam mencari redha Allah.

1. Kita mestilah bersegera dalam melaksanakan sesuatu, tambahan lagi dalam melaksanakan perintah Allah. Rasulullah lantas menukarkan qiblatnya setelah mendapat wahyu dari Allah tanpa menghabiskan rakaat solat asar baginda.

2. Doa dimakbulkan. Macam mana tu? Kalau kita inginkan Allah memakbulkan doa kita, bersungguhlah dengan hati yang ikhlas dalam meminta padaNYA.. Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah s.w.t untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah s.w.t. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah s.w.t pada bulan Syaaban.

Muhammad: Ahmad, peristiwa apa lagi yang best dalam bulan Sya’ban nih?
Ahmad: Waah.., semangat dia nak tahu..

Perang zat al-riqa`

Dalam pertempuran ini seramai 400 tentera Islam terdiri daripada berkuda dan berjalan kaki telah menghadapi kekuatan musuh daripada Banu Muharib dan Banu Tha’labah daripada Ghatfan di satu tempat di Najd bernama Zat al-Riqa’. Perang ini berlaku pada bulan Syaaban tahun ke-4 Hijrah. Perang ini berakhir dengan kemenangan di pihak Islam apabila kedua-dua kabilah musuh telah melarikan diri.

Perang banu al-mustalaq daripada khuza`ah

Seramai 1, 000 tentera Islam telah bertembung dengan Banu al-Mustalaq di satu tempat bernama al-Mari’ pada bulan Syaaban tahun ke-5 Hijrah. Pihak musuh telah melarikan diri selepas berlaku peperangan yang pendek.

Ahmad: Dan, paling penting, ada malam nisfu sya’ban!
Muhammad: Boleh  share  dop menda yang  berlaku pada nisfu sya’ban ni benarnya?

Malam nisfu syaaban

Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)

Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyebut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata:

“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”

Ahmad: Eh, Nok gi mane tu? Dop abih kabo lagi..!
Muhammad: Tidorlah. Nak bangun awal, nak sahur. Dalam sahur ada keberkatan.
Ahmad: (senyum)
*******
Syaaban dimengertikan sebagai berpecah-pecah atau berpuak-puak. Dikatakan masyarakat Quraisy pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila datangnya Rasulullah S.A.W, baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabatnya;
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabatmenjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah S.A.W, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)

Penulis: Ezzah Syahira Halim
            Timbalan Unit Pengisian Rohani BPP