Pimpinan PUTRA Sesi 2014/2015

Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan atau singkatannya (PUTRA) merupakan sebuah badan kebajikan anak negeri Terengganu yang bernaung di bawah Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) serta Education Malaysia Jordan (EMJ).

Lawatan Rasmi Delegasi Yayasan Terengganu

Sekitar lawatan rasmi delegasi Yayasan Terengganu ke bumi Jordan . Lawatan rasmi ini diadakan di semua 4 mantiqah iaitu , Yarmouk ( Universiti Yarmouk dan Jordan University Science and Technology) , Mafraq ( Universiti al-Bayt) , Amman ( Universiti of Jordan) . Mu'tah ( Universiti Mu'tah)

Karya Siswa Sempena Ramadhan Dan Aidil Fitri

Wan Nur Farhana,Universiti Yarmouk “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” [Al-Baqarah:183]

ANDA DAN KESIHATAN

Assalamualaikum semua..Suka kami untuk berkongsi dengan anda tips penjagaan kesihatan terutamanya ketika musim sejuk yang bakal tiba.

Selamat Hari Raya Aidil Adha'

Selamat Menyambut Hari Raya Aidul Adha buat semua ummat Islam di dunia . كل عام وأنتم بخير !

Showing posts with label BIRO PENERANGAN DAN PENERBITAN. Show all posts
Showing posts with label BIRO PENERANGAN DAN PENERBITAN. Show all posts

Sunday, 5 October 2014

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDUL ADHA


Bismillah 

Selamat Menyambut Hari Raya Aidul Adha buat semua ummat Islam di dunia . 

كل عام وأنتم بخير !

"PUTRA Milik Bersama"

Saturday, 22 March 2014

KARYA TERBAIK MINGGU KE-6 (LAST)

KARYA TERBAIK MINGGU INI!

Congratulation to the last champion of 'KARYA SISWA' Azizi Rashdi,Second year student of Al Albayt University for his awesome comic.


Saturday, 15 March 2014

KARYA TERBAIK KARYA SISWA MINGGU KE-5

KATEGORI ARTIKEL

Oleh:Aishah binti Rosli
Tahun 2,Universiti Al Albayt

Tajuk:Hormati Ibu Bapa amalan berterusan
Seorang anak kebiasaan akan lebih menghargai ibu bapanya setelah dia memiliki cahaya mata yang pertama. Betapa rumitnya membesarkan bayi yang baru dilahirkan hinggalah usia meningkat dari tahun ke tahun dipenuhi dengan pelbagai cabaran.
Saat itulah, baru menceritakan semula penat lelah ibu dan bapa yang membesarkannya suatu ketika dahulu. Selain, kepayahan ketika mengandung hinggalah tiba waktu melahirkan.
Pengorbanan ibu bapa sebenarnya telah ditegaskan oleh Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman ayat: 14)Pengorbanan ibu dan bapa yang tidak terkira nilainya dan amat tidak wajar dipandang remeh atau ringan oleh anak-anak. Apabila keduanya menghampiri daerah usia yang lanjut, bermusyarawarahlah sesama adik-beradik untuk saling berbakti selagi usia ibu bapa kita belum terhenti.Sebenarnya kewajipan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini tidak terhenti selepas mereka meninggal dunia saja. Bahkan walaupun ibu bapa sudah tiada, anak dikehendaki berdoa supaya mereka mendapat keampunan Allah SWT. Selain itu, anak juga dikehendaki melaksanakan wasiat mereka; membayar hutang mereka (jika ada) dan berbuat baik kepada sahabat mereka. Jelaslah menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu amalan utama dan berterusan sepanjang masa.

Perintah Islam supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa ini berbentuk umum tidak kira, sama ada mereka beragama Islam atau tidak. Cuma bagi ibu bapa bukan beragama Islam, perintah menghormati dan berbuat baik itu dengan bersyarat iaitu selagi ibu bapa tidak menyuruh anaknya yang beragama Islam melakukan perkara mensyirikkan Allah SWT. Diriwayatkan daripada Sa’id bin Abu Waqqas bahawa Ummu Sa'ad adalah seorang kafir kerana terlalu benci kepada Rasulullah SAW, pada suatu hari Ummu Sa'ad berkata kepada anaknya, “Bukankah Allah menyuruh engkau berbuat baik kepada ibu bapamu? Demi Allah, aku tidak akan makan dan minum sehingga aku mati atau engkau kufur (kepada Nabi Muhammad saw).” (Riwayat Muslim).
Berikutan peristiwa ini, Allah SWT menurunkan ayat 8 daripada surah al-Ankabut yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau menyekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu semua kembali, kemudian Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang sudah kamu kerjakan.” Selain itu, banyak peristiwa dan kejadian menimpa orang menderhaka ibu bapanya. Satunya ialah peristiwa menimpa Alqamah. Alqamah seorang sahabat yang kuat beribadah kepada Allah SWT, tidak dapat melafazkan kalimah tauhid pada saat kematiannya. Alqamah pernah melakukan perbuatan mengguris hati ibunya akibat terlalu cinta kepada isterinya. Beratnya dosa menyakiti ibu bapa, lidah Alqamah seakan-akan terkunci.
Tiada sepatah perkataan pun terkeluar daripada mulutnya.Azab yang menimpa Alqamah berakhir selepas ibunya memaafkan kesalahan yang dilakukannya.
Kesimpulannya, anak yang menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia. Sayangilah mereka selagi mereka masih ada.

KARYA SISWA MINGGU KE-5 | Karya 3

KARYA 3 | KATEGORI PUISI

Oleh:Wan Ahmad Fadhli,Tahun 3 Uni Yarmouk

Sang pemilik hati
Hari ini,
Ku berdiri di taman yang berduri,
Ingin ku bercerita tentang kisah hati,
Kerana telah lama ku pendami.
Ku lihat betapa banyak nya bunga disisi,
Bunga yang cantik dirinya,
Bunga yang manis wajahnya,
Bunga yang madu rasanya,
Namun ku tempis segala itu dari fikiran,
Kerna ku tau hanya satu yang inginku sandang.
Hal ini membuatkan aku teringatkan mu,
Jiwaku terseksa mengharapkanmu,
Namun apakan daya, Engkau masih belum menjadi milikku.
Setiap hari membuak-buak getaran hatiku ,
Kerna Hati ini dah terlalu merindu,
Betapa inginku berjumpa denganmu,
Bermesej-mesej denganmu,
Bercinta-cinta denganmu.
Oh hati!
Mustahil untuk aku lakukan semua itu,
Kernaku tau itu bukan jalan syariat tuhanmu,
Dan ia akan merosakkan dirimu.
Acap kali mizan hatiku bertanding antara iman dengan nafsu,
Nafsu ku menang mengalahkan seribu,
Lalu imanku hancur menjadi debu,
Kerna aku insan yang terlalu mengharapkanmu.
Wahai sang pemilik hatiku,
Walaupun wajahmu terlindung dari pandanganku,
Tapi jiwa mu telahku tatap selalu,
Rajin, baik, dan lembut dalam tutur kata mu,
Membuatkan aku terpesona selalu,
Sehingga kuinginmu menjadi teman istimewa buatku.
Tidak pernah aku tau,
Sama ada dirimu telah dimiliki ataupun tidak,
Sungguhpun ia sentiasa mengiang-ngiang di telingaku,
Bercampur gundahan hati yang berliku.
Aku sedar akan diriku,
Seorang budak hingusan dalam bicara hati,
Persiapan diri masih lagi berlari-lari,
Ilmu dan duit masih ku cari-cari,
Bermakna ini bukan masanya lagi.
Aula kepada aku,
Untuk mempersiapkan diriku,
Menyelesaikan tanggungjawab yang terdahulu,
Sebelum merangkap yang berbatu.
Akanku tunggu hingga hari graduasi,
Kerna ibuku masih belum memberi,
'Green light' dalam menyarung cincin dijari,
Untuk menjadikan mu isteri yang sah disisi,
Oh! Fantasi ini akanku bayang-bayangkan dihati
Memupuk semangat ke dalam diri,
Agar menjadi manusia yang bertauliah dan berilmu
Oh, sang pemilik hatiku.
P/S: ini hanyalah rekaan semata-mata

KARYA SISWA MINGGU KE-5 | Karya 2

KARYA 2 | KATEGORI KOMIK

Oleh:Mohd Saifuldin Zainal,Tahun 2 Uni Yarmouk


KARYA SISWA MINGGU KE-5 | Karya 1

Karya 1| Kategori Puisi
Oleh:Wan Nur Syakira,Tahun 3 Uni Yarmouk
Manusia,
kau beri maaf,
tanda hapus kisah silam,
bila kau dan dia diduga,
kau ungkit hikayat lama.

Maaf itu bukan rasa,
maaf itu sebuah janji,
janji untuk lontar jauh silap itu,
bukan kutip kembali,
lemparkan sekali lagi ,
pada wajah yang dimaafi.

Manusia,
kau beri maaf,
namun kau lupa,
sempurna milik Yang Esa,
bila ceritera yang sama berulang tanpa sengaja,
hukumanmu seakan insan itu sesempurna Tuhan.

Maaf itu bukan rasa,
maaf itu toleransi,
memahami berubah itu panjang,
tak semudah seperti membuang duri jalanan,
aku rasa kamu faham payahnya, 
kerna kamu juga sedang berubah bukan?

Wahai manusia,
siapa kita memilih insan untuk dimaafkan,
siapa kita berfikir lama untuk memaafkan,
sedangkan keampunan Pencipta tak bertepian,berlagaknya kamu selaku ciptaan?!

Wahai manusia,
kerna sayang kukatakan,
maaf takkanmenjadikan kamu kecil,
maaf itu pastinya tanda,kamu punya hati yang besar,
usahlah bakhil,
percayalah,
salah yang dipadam dengan cinta,
yang baik-baik akan berbunga.

Saturday, 8 March 2014

KARYA TERBAIK MINGGU KE-4

Karya Terbaik Minggu ini!
Kategori Video
Tajuk:Change The Mood I : Exam

Tahniah kepada Wan Ahmad Fadhli bin Wan Mohd Hatta atas kejayaan merangkul karya terbaik untuk minggu ini.


KARYA SISWA MINGGU KE-4

Kategori Cerpen
oleh:Wan Nur Farhanah,
Tahun 2,Universiti Yarmouk

ESOK
Petang itu sewaktu menuju ke jamiah sendirian, aku dilanda rusuh tanda aku punya masalah sendiri. Masalah tersebut sebenarnya sudah tidak dapat diselesaikan. Terkadang wujud masalah yang tidak punya jalan keluar. Dan aku sedang menghadapi saat itu ketika ini. Waktu ini. Aku tahu, manusia pasti sentiasa akan berada dalam masalah tetapi bagiku masalah yang aku hadapi ini adalah perkara terbesar dan sangat mengganggu hidupku.
Petang itu aku jalan perlahan. Aku seret kaki ini pelan-pelan. Tanda cukup tidak bersemangat. Namun, kuliah harus dihadiri. Muka monyok usah dikira. Seakan untuk mengukir senyum kepada sesiapa menjadi satu tugas berat buat aku. Di penghujung bulatan penumbuk menuju Kuliah Syariah, aku terserempak dengan Aini. Dia junior sewaktu sekolah menengah dulu. Bibir ini aku paksa ukir sebuah senyuman padanya. Yalah, mana mungkin aku tidak senyum kepada bakal adik ipar aku sendiri. Hihi
“Kakak, jangan senyum kalau tak ikhlas” laju dia menutur kata.
Aini sangat jujur. Bahkan terlalu jujur. “Tak tahulah Aini. Kakak rasa hilang sangat ni” aku terus-terang.
“Sudahlah tu kakak. Bukan Allah buat semua tu untuk sia-sia. Adalah tu benda yang Dia nak bagi kat kakak. Dia ambil sikit je dari kakak. Mungkin sebab Allah nak bagi banyak kat kakak? Sebab tu Dia ambil sikit dari kakak. Mana tahu kan? Kakak jangan risau ye?” Dia usap-usap bahuku.
Aku cuma mengangguk lemah.
“Pergi dulu kakak. Ada hal sikit dekat rumah. Eh lupa nak bagitahu. Oren dah beranak tau. Tiga ekor anak dia. Comel-comel pulak tu. Tapi warna oren macam dialah” dia bercerita semangat sambil mengangkat tiga jari tengah. Bersungguh dia membela kucing jalanan yang dia jumpa tepi tong sampah berhampiran PUSKOM bulan lepas.
“Nanti datanglah tengok baby Oren. Bawaklah buah tangan sikit, buah epal pun okey dah kakak. Untuk Ainilah, bukannya untuk Oren. Alang-alang nanti datang boleh skype dengan abang sekali. Hehe”
Aku senyum tawar. Haih. Sempat lagi dia mengusik. Apa kaitan entah kucing oren dia tu dengan abang dia.
“Dah pergi. Kakak dah lewat ni” halauku cepat. Muka aku tahan sebolehnya. Panas juga rasa di pipi.
Aini melambai pergi. Ceria sekali orangnya sehingga ramai orang menyenanginya termasuk aku. Dan Ainilah yang melamar aku untuk abang sulungnya. Katanya aku seorang kakak yang tabah dan kuat. Dan dia mahu menyerap segenap kekuatan itu daripada aku.
Tapi itu dahulu. Itu ketika zaman kegemilangan aku. Sekarang aku sudah menjadi seorang kakak yang mudah lemah dan menangis. Kali ini bila aku merasa kehilangan, aku cepat melatah. Tidak seperti dulu aku terlalu mengahargai dugaan dan mehnah. Dulu aku menganggap ujian dunia sebagai jambatan ke syurga tapi sekarang, seakan aku terhijab dari melihat semua itu. Aku melihat masalah cuma membawa kepada kesusahan dan tiada jalan keluar, bukan lagi sesuatu yang membuahkan pahala. Oh malangnya hidup aku.
“Ya Allah, pinjamkan aku sedikit kekuatan” rayu aku sayu.
Esok hari Jumaat. Doktor Abdul Majeed menyudahkan kuliah petang itu dengan menyeru semua pelajarnya untuk memperbanyakkan ibadah sunat pada esok hari. Dan antara tuntutan yang sering beliau tekankan adalah membaca Surah Kahfi. Dotor ada menceritakan sedikit tentang kisah Nabi Musa dengan Khidir. Tetapi ingatan aku seakan melayang. Aku langsung hilang fokus sejak berlaku kejadian hitam itu. Mujurlah hari ini dua daripada tiga kuliahku batal kerana doktor menghadiri Munaqashah Ilmi di Amman.
Lima minit kemudian, kuliah bersurai. Aku menapak lambat pulang ke rumah.
**
Usai solat maghrib, aku capai Al-Quran terjemahan pemberian ibu di atas meja. Aku mengambil tempat di atas katil. Muka surat 293 aku selak. Surah ke-18 itu aku baca perlahan. Bila tiba ayat ke-60 yang bercerita tentang Nabi Musa dan Khidir, aku jadi teringat tazkirah Doktor Abdul Majeed petang tadi. Lantas aku baca penuh khusyuk maksud ayat-ayat tersebut.
“Adapun perahu itu adalah milik orang miskin yang berkerja di laut; aku bermaksud merosakkannya, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang akan merampas setiap perahu”
Aku tersentap. Rupanya ini jawapan kepada persoalan Nabi Musa yang tidak sabar untuk mengetahui tentang mengapa Khidir melubangi perahu ketika kedua mereka menaikinya. Lantas aku sambung pembacaan.
“Dan adapun anak muda yang kafir itu, kedua orang tuanya mukmin, dan kami khuatir kalau dia akan memaksa kedua orang tuanya kepada kesesatan dan kekafiran”
Aku angguk perlahan. Patutlah Khidir membunuh pemuda tersebut yang dilihat sebuah jiwa yang bersih oleh Nabi Musa pada ayat-74. Cepat-cepat aku teruskan pembacaan untuk mengetahui sebab Khidir menegakkan dinding rumah atau tembok yang condong dan hampir roboh di negeri yang mereka pergi itu.
“Dan adapun dinding rumah itu adalah milik dua anak yatim di kota itu, yang di bawahnya tersimpan harta bagi mereka berdua, dan ayahnya seorang yang soleh maka Tuhanmu mengkehendaki agar keduanya sampai dewasa dan keduanya mengeluarkan simpanannya itu sebagai rahmat dari Tuhanmu.”
Betullah. Allah buat sesuatu bukan sia-sia. Aku berhenti sekejap menarik nafas.
“Apa yang aku perbuat bukan menurut kemahuanku sendiri. Itulah keterangan perbuatan-perbuatan yang engkau tidak sabar terhadapnya”
Sekali lagi aku tersentap. Ayat terakhir itu bagaikan merentap tangkai jantungku. Cerita perihal sabar. Sebenarnya adakah aku tergolong dalam puak manusia yang kurang bersabar? Tiba-tiba hati aku menjadi sayu. Terasa seperti Allah seolah-olah bercakap denganku. Terasa seperti Allah memujuk lembut hatiku. Aku tutup Al-Quran terjemahan berwarna coklat itu dengan kemas. Mataku memandang ke hadapan tanpa isi. Kosong. Allah perintahkan Khidir buat sesuatu yang kelihatan tidak elok tetapi sebenarnya sangat baik di masa hadapan. Allah lebih tahu apa yang Nabi Musa tidak tahu.
Allah buat sesuatu bukan sia-sia. ‘Cuba kau sabar, mesti nanti tersingkap apa yang terlindung’. Ada satu suara bergema di telinga. Tapi kenapa aku kurang sabar ya? Apa sebenarnya yang Allah nak bagi kat aku ni?
Tiba-tiba dada terasa berombak. Sayu mengenang lemahnya diri. Betapa perlunya aku yang daif ini kepada kuasa bertuhan. Hati mula menjadi sedih.
Allah buat sesuatu bukan sia-sia.
Handphone Sonyku berbunyi. Ada notification facebook masuk. Aku capai dan terus membukanya. Aini. Apa pulak budak kecil ini conteng di dinding mukabukuku?
“[3:139] :) [2:177] Jadi kuat kakak”
Cuma sebaris nombor dan smiley yang tersenyum. Serta kata hikmat dia.
Aku pejam mata rapat-rapat. Aku tahu nombor itu. Aku kenal sangat nombor itu. Aku arif benar apa kandungannya.
Sony Experia aku campak ke tepi. Al-Quran di tangan aku rapatkan ke dada. Sebak mula menguasai diri. Aku rapatkan mata serapatnya. Aku selesa dengan gelap yang aku ciptakan sendiri. Perlahan, kandungan ayat 139 Surah Al-Imran bergema kuat di dalam benakku.
“Dan janganlah kamu merasa lemah, dan jangan pula bersedih hati, sebab kamu paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman”
Air mata mula merembes laju. Esak mula kedengaran. Aku tidak dapat perasaan yang membuak-buak masuk dan memukul dadaku. Aku semakin menguatkan dakapan Al-Quran ke dada. Mata semakin aku rapatkan, seolah tidak mahu lagi terbuka. Seakan ayat-ayat Al-Quran itu diturunkan untuk aku.
“.. dan orang yang sabar dalam kemelaratan, penderitaan dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar, dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa”
Esak tangis aku mula kedengaran. Ayat 177 Surah Al-Baqarah berjaya menawan hatiku. Kesabaran yang baik. Orang yang bertaqwa. Darjat tinggi. Orang beriman. Akhirnya hatiku terbuka menerima takdir. Aku mula boleh menerima kenyataan. Kehilangan kucing kesayangan dua hari lepas benar-benar menggugat fokus dan konsentrasi aku dalam pelajaran dan kehidupan. Aku sangat menyayanginya. Bahkan kucing itulah peneman sejak aku mula jejakkan kaki ke Jordan. Jaguh nama dia.
Jaguhlah teman baikku. Jaguh jualah teman bergaduh aku. Jaguh kucing yang baik. Dia selalu kejutkan aku untuk bersubuh. Dia sering masuk ke dalam selimut dan menjilat mukaku. Hari-hari hidup aku dipenuhi cerita dia. Jaguh selalu menemani malam berjagaku bila tiba musim peperiksaan. Dia selalu menyendengkan badannya ke tangan aku bila terlihat aku mengantuk dan tersengguk. Dia juga selalu bersama tika susahku. Mengiau-ngiau tanda setuju bila aku bercerita sesuatu padanya. Jaguh selalu menyahut segala apa yang aku cakap padanya walau aku cuma membebel seorang diri. Dia makhluk terhebat yang pernah Tuhan hantarkan untukku. Jaguhlah dunia aku. Tiada yang lainnya.
Tapi kini dia tiada lagi. Tiada lagi jilatan pada muka sewaktu azan subuh. Tiada lagi peneman study malam-malam. Tiada lagi yang menyahut aku bila aku membebel-bebel tidak puas hati. Tiada lagi dia. Tiada lagi cerita Jaguh dalam hidup aku. Aku jadi rindu. Aku rindu sangat pada Jaguh.
Terima kasih Aini. Terima kasih Allah. Sesungguhnya aku sudah terpujuk dengan kalam-Mu. Terima kasih ya Tuhan kerana menyedarkan aku. Sesungguhnya aku mesti bertabah atas kehilangan. Aku mesti kuat menghadapi dugaan. Jaguh pergi menghadap Penciptanya Yang Agung. Kenapa perlu aku risaukan dia? Jaguh pasti senang berada di syurga. Dan berkemungkinan dia sedang menunggu aku untuk mengikutnya sama.

Jaguh pergi menghadap Tuhannya. Dan aku tidak redha atas realiti itu? Alangkah malangnya kefuturan aku untuk dua hari ini. Menghukum diri atas takdir Tuhan. Ampunkan aku ya Allah..
Satu sms masuk ke peti kotak mesej Sonyku. Aku membuka mata. Air mata di pipi aku biarkan. Dari budak kecil tu lagi rupanya.
“Jadilah jaguh buat Tuhanmu seperti Jaguh yang berbakti kepada tuannya. Dan dia pergi saat tibanya dia harus pergi, seperti jua engkau yang akan pergi bila tiba masanya nanti. Moga kakak bertemu Jaguh di syurga. Jadi kuat kakak J
Aku senyum. Kali ini terasa manisnya. Terima kasih Aini sayang.
Aku fikir aku lemah tanpa Jaguh. Semoga kematian Jaguh lebih menghidupkan aku dan lebih membawa aku mengenal Tuhan. Mungkin inilah hikmahnya. Aku jadi lebih rapat dan dekat dengan Allah sejurus selepas Jaguh pergi tinggalkan aku.
Dan ya, Allah tidak buat sesuatu untuk sia-sia. Bersabarlah untuk melihat tersingkapnya apa yang tidak pernah kau tahu. Moga esokmu cerah dan lebih mengenal Tuhan.

Saturday, 1 March 2014

MINGGU KE-3 PERTANDINGAN KARYA SISWA

KARYA TERBAIK MINGGU INI!
Kategori PUISI
Oleh:
-Muhammad bin Abdullah
-Tahun 3,Universiti Yarmouk


-MUSAFIR ILMU-

Ilmu itu
Ingin ku nukilkan
Mutiara agung di tengah lautan
Intan emas di tanah galian
Ku kutip bersama sepanjang perjalanan
Indah nian anugerah tuhan
Buat hambaNya dalam pengembaraan.

Ilmu itu
Mengheret ku ke sini
Bumi barakah menjadi saksi
Hamba hina menapak diri
Mengemis kasih sekelumit abadi
Mengenal pencipta mendamba erti
Aku hidup keranaMu Ya Robbi..

Ilmu itu
Mengajar aku menjadi insan
Membentuk diri menjadi mapan
Menghias hati bersama iman
Petunjuk naluri mencari teman
Buat bekalan jalan seiringan
Melangkah bersama dalam perjuangan.

Ilmu itu
Muhasabah diri mencanai peribadi
Dijulang tinggi kekal abadi
Ku dakap kemas di pelukan hati
Kerna ku mengerti
Jauh di sudut hati
Tersemai kasih padaMu Ilahi..

-Muhammad bin Abdullah-
25 Rabiul Awwal 1434H
9.39 p.m
Irbid, Jordan.

Saturday, 22 February 2014

KARYA TERBAIK MINGGU KE-2

Tahniah buat pemenang karya terbaik minggu ke-2 iaitu:

Wan Nur Farhanah binti Wan Aljannah
Tahun 2
Universiti Yarmouk
Kategori cerpen

KEMBARA PETRA
Senyumku  melebar ke telinga. Puas. Bebola mata aku lotarkan ke jendela coaster. Pokok-pokok  zaitun dan tanah lapang seakan padang pasir menghiasi pandangan. Bas kecil itu terus meluncur laju menuju ke Irbid, sebuah daerah di utara Jordan yang menjadi tempat permastautinan aku sepanjang tempoh menuntut ilmu di sini. Mataku masih menatap ke luar jalan. Pandangan yang sama seperti tadi. Apalah yang boleh diharapkan sangat selain rimbunan pohon zaitun dan padang pasir yang terkadang berselang-seli dengan sekelompok unta dan sekelompok kambing ternakan. Namun itulah yang membahagiakan aku, apa yang tiada di tanah airku, itulah yang istimewanya tentang tanah arab.
Aku melepas lelah. Penat yang berlingkar ke kaki dan seluruh anggota badan mula memeritkan. Kalau ini yang perlu aku bayar demi menawan puncak Petra, aku terima. Badan yang sengal-sengal aku sandar ke kerusi, tangan disilang ke dada tanda tidak berdaya lagi menatap suria yang perlahan-lahan ditelan bukit-bukit batu. Faizah di sebelah sudah lama terlelap. Bahkan hampir kesemua peserta kembara sudah  lama ‘mengembara’ ke alam  lain. Mata aku pejam perlahan, dan kota purba Petra aku tinggalkan dengan sejuta kenangan.
**
Beg sandang belakang berisi tuala kecil, peralatan diri, power bank, stok makanan ringan, spek mata hitam beserta minyak angin cap kapak aku zip kemas. Kemudian aku sandarkan pada kepala katil. Tilam katil yang agak bersepah dengan selimut dan bantal aku rapikan. Tanpa membuang masa, aku henyakkan tubuh  ke katil. Lengan sebelah kiri aku letakkan di dahi. Penat juga packing barang walaupun  trip kali ini cuma sehari semalam. Bukan penat berkemas, tapi lebih kepada penat memikirkan apa yang perlu dibawa ke lawatan kali ini.
Mindaku mula terbayang-bayangkan Petra, kota berdinding batu yang pernah hilang dari peradaban manusia selama lima ratus tahun sebelum dijumpai semula oleh peneroka barat, Johann Ludwig Burckhardt pada tahun 1812. Melihat gambar-gambar Petra di Google membuatkan aku  makin tidak sabar menawan puncaknya, bertambah teruja apabila melihat ukiran-ukiran yang maha unik dan menarik. Tanpa sedar, bibirku mengukir senyum. Moga Allah swt permudahkan urusanku dan kawan-kawanku nanti.
Lengan jubah aku selak sedikit. Tepat 12:00 tengah malam. Lagi dua jam setengah sebelum bertolak  ke Petra. Aku bingkas bangun ke dapur, mahu menyediakan roti sardin buat bekalan  sarapan pagi esok sebelum mendaki. Sepuluh minit kemudian, Zahirah menyertai aku untuk membuat roti sosej. Siti pula tidur di bilik sejak pukul 11.45 malam lagi. Dimintanya aku untuk kejutkan dia pukul 02.00 pagi nanti. Penganjur program, Qusyairi sudah siap berpesan untuk sediakan sedikit sarapan masing-masing di group Facebook untuk mendapatkan sedikit tenaga sebelum  memulakan pendakian. Memanglah ada kedai-kedai di kawasan Petra namun yang dijualnya bukanlah  nasi minyak atau mi goreng. Lagi pula, mana mahu cari roti sardin di kedai-kedai arab di Jordan ini! Heh.
02.50 pagi, kami bertiga berjalan menuju Simsimah, supermarket kecil yang terkenal dalam kalangan pelajar Malaysia di Irbid yang hanya kurang lima minit dari rumah. Seringkali Simsimah dijadikan tempat berkumpul sejak dahulu lagi. Sesampainya di coaster, aku mencari Faizah terlebih dahulu kerana sudah berjanji untuk duduk bersamanya. Tangga coaster aku panjat penuh semangat, lalu aku memilih kerusi di sebelah tingkap sebelum Faizah mengambil tempat di sebelahku. Zahirah dan Siti masing-masing mengambil single seat di sebelah tingkap. Sekitar sepuluh minit kemudian, Qusyairi memberikan sedikit taklimat ringkas sebelum bertolak. Menurut beliau, kami akan sampai ke Petra sekitar empat ke lima jam kemudian. Coaster mula bergerak perlahan lima minit kemudian sebelum berhenti di stesen minyak. Aku dan Faizah rancak berborak demi menghalau rasa pening dan loya. Dan akhirnya mataku memberat jua walaupun sudah berjanji untuk berjaga sehinggalah Faizah mengejutkan aku pada jam 06.00 pagi untuk bersolat di Masjid Thoriq ila Madinah.
**
Tanah  Petra aku jejak pada jam 08.15 pagi. Di situ, panas mula terasa walaupun sekarang musim sejuk, hanya angin pagi yang mendamai sedikit menyejukkan. Lantas aku menanggalkan baju sejuk. Tidak aku berhajat untuk membawanya bersama kerana di atas Petra matahari terasa dekat di kepala. Sebaiknya peserta harus memakai seluar panjang untuk memudahkan  pendakian. Botol air mineral aku capai dan masukkan ke beg sandang tepi. Begitu juga tuala kecil. Maisarah teman seperjuangan yang sudah menaiki Petra beberapa hari lepas menasihatkan kami supaya bawa air mineral sendiri kerana sebotol air mineral kecil di kedai-kedai sepanjang pendakian boleh mencecah JD1 (RM4.60)!
Usai makan  pagi, kami berkumpul di pintu masuk Petra. Kad pelajar universiti berserta wang JD1 dikumpulkan oleh salah seorang peserta untuk membayar tiket masuk. Kami beruntung kerana harga tiket pelajar cuma dikenakan JD1 berbanding harga tiket untuk pelancong luar negara yang berharga JD50 setiap seorang (RM235 mengikut kadar tukaran wang semasa). Sebelum itu aku,  Zahirah, Siti, Faizah dan lain-lain telah membeli topi di luar pagar sebagai langkah melindungi kepala dari berbahang. Aku dan Zahirah mengambil topi hawaii manakala Siti dan Faizah masing-masing memilih cap yang bertulis Petra Jordan di atasnya. Tiba-tiba terasa seperti pelancong yang bergembira melancong ke sana sini dan lupa tujuan sebenar datang ke Jordan. Heh.
Masing-masing dibekalkan pamplet mengenai Petra dan sejarahnya. Dari situ, baru aku tahu bahawa Petra adalah tapak kaum dan kerajaan purba Nabatean yang datang dari semenanjung arab dan berhijrah ke selatan Jordan. Dikatakan juga kaum ini bernasab keturunan daripada Nabi Ismail a.s. Kota purba lama ini dikelilingi gunung batu dan dari situ dinamakan Petra yang bermaksud “batu” dalam Bahasa Yunani. Mereka mula membentuk masyarakat dan tamadun  hebat di Petra ini. Namun, kejayaan mereka tidak disenangi oleh kuasa dunia pada ketika itu iaitu Empayar Rom yang sentiasa berusaha menundukkan mana-mana empayar dan kerajaan sekeliling yang dianggap ancaman buat mereka. Kemuncaknya pemerintah Rom pada ketika itu melancarkan peperangan terhadap Petra sekaligus menamatkan penguasaan bangsa Nabatean di bumi Jordan. Kesannya, Petra menghilang dari peta bumi selama ratusan tahun sebelum ditemui kembali orientalis Johan Ludwig. Pergh! Macam tu rupanya sejarah Petra.
Kami mula memasuki jalan yang menuju ke kota Petra. Tiket kami diperiksa dan dipuncher oleh pegawai bertugas di sebuah pondok pengawal berdekatan. Kedai-kedai cenderamata yang menjual pelbagai souvenir berderet di sepanjang jalan. Bermula dari situ, hormon kegembiraan aku bertambah-tambah dan melimpah ruah ke dalam diri disebabkan keterujaan yang melampau. Sungguh, aku sudah lama memasang impian ke Petra walaupun aku sudah dua tahun berada di Jordan. Hari ini 23 Januari 2014 aku berjaya menjejakkan kaki ke kota unik dan ajaib ini. Tuhan Maha Mendengar setiap keluhan dan permintaan hamba-Nya. Indeed.
Kami sekumpulan seramai 23 orang berjalan perlahan-lahan sambil dipandu peserta lelaki yang hanya lima orang itu. Sekitar dua puluh minit berjalan kaki, kami sampai di pintu masuk utama yang diberi nama As-Siq. As-Siq adalah laluan sempit dan dalam antara cenuram gunung-ganang. Di dalamnya seakan-akan gua dimana sepanjang laluan As-Siq, terdapat tarahan di sebelah kiri dan kanannya. Panjangnya sekitar 1200 meter dan ketinggiannya lebih kurang 80 meter. Aku berserta kawan-kawan mula berhenti dan  merakam binaan-binaan yang cukup gah dan hebat itu menyebabkan kami tertinggal di belakang. Betapa binaannya mengagumkan sehingga kuasa kamera tidak mampu merakam  kecantikan sebenar panorama yang aku saksikan. Sungguh, gambar yang diambil langsung tidak sama dengan keadaan yang dilihat sendiri. Kami teruskan perjalanan sehingga bertemu  pintu pertama kota Petra, Al-Khazneh (Treasury). Maha Suci Allah! Binaannya cukup awesome dan megah. Berkeping-keping pemandangan aku rekodkan menggunakan  handphone milikku. Siti di hujung sana ralit mengetip DSLR nikonnya. Zahirah pula menjadi model Siti manakala Faizah sudah terkehadapan. Entah dengan siapa dia berjalan, barangkali bersama kumpulan yang lain. Semua yang berada di situ sibuk merekod kenangan dan  memori. Manakan tidak, hanya orang yang melihatnya sahaja akan mengetahui betapa cantiknya ukiran yang terlekat di batu yang maha besar itu. Dan untuk sampai ke tempat itu memerlukan pengorbanan serta kaki yang kuat untuk melangkah.

Kami teruskan berjalan walau kaki mula memenat. Di lereng-lereng Treasury, ramai arab badwi menyediakan khidmat unta, keldai dan  kuda. Mereka akan menghampiri pengunjung dan menawarkan khidmat ke Monastery (Ad-Deir) yang berada di puncak Petra yang semestinya menjadi destinasi terakhir para pelawat. Ramai yang menghampiri kami tetapi setakat ini kami masih mampu bertahan. Bagi aku perjalanan ke Monastery lebih kelihatan menarik jika tidak menggunakan sebarang haiwan  tunggangan. Terlalu banyak binaan menarik yang harus ditonton dan disentuh serta dirakam  potretnya. Menurut aku, kuasa menghayati kawasan sekitar sedikit berkurang andai menaiki tunggangan ketika mendaki. Namun tidak menjadi satu masalah untuk menggunakan khidmat haiwan untuk sampai ke puncak.
Melepasi Treasury, kami melalui “Street of Facades” yang menempatkan teater, mahkamah, Makam di-Raja dan tempat pengorbanan sebelum bertemu “Colonnaded Street” yang menempatkan kuil-kuil, muzium, makam-makam serta restoran dan bilik air untuk pengunjung melepas lelah di penghujung jalan. Beberapa pengunjung asing selain kami kelihatan berehat di bangku-bangku yang disediakan di sepanjang jalan untuk mengutip tenaga sebelum melangkah kembali. Ada yang menunggang unta dan keldai dan ada sesetengah yang lainnya menaiki kereta kuda. Berada di tengah Petra dan  melihat situasi ini membuatkan aku seolah-olah berada dalam  tamadun  Nabatean yang hebat itu. Kaki yang sengal-sengal aku kuatkan. Tujuan kami adalah Monastery di puncak sana. Perjalanan panjang kami teruskan sehingga sampai ke kaki pergunungan batu. Jam menunjukkan 10:30 pagi. Sudah  satu jam dan tiga puluh minit usia perjalanan kam i. Aku jadi teringat pesanan penganjur program supaya berada di pintu masuk Petra pada pukul 1:30 petang nanti. Melihat pada bentuk perjalanan aku terasa mustahil. Perjalanan  harus dipercepatkan. Kaki gunung kami panjat sepenuh perasaan. Bertabahlah! Aku pujuk lembut hatiku.
**
Lapan  ratus anak tangga menuju Monastery berjaya kami panjat dengan lelah dan nafas tercungap-cungap. Kali ini perjalanan lebih mencabar apabila jalan yang kami panjat berupa batu-batan yang membentuk gunung dan sudah semestinya curam dan licin dan membuatkan pendakinya lebih mudah penat dan tercungap. Ada beberapa gaung dalam yang terbentuk dan untuk menaikinya mestilah berhati-hati. Banyak kali aku berhenti untuk melepas lelah dan menghilangkan dahaga. Matahari pula terasa tegak di kepala. Sungguh tidak terdaya. Serasa dada berombak kuat dan jantung mengepam laju. Mahu pecah rasanya. Tapi aku kuatkan hati dan semangatku. Bila lagi mahu lengkapkan pendakian kalau bukan hari ini. Biarpun kami bertiga dan ada lagi beberapa orang peserta trip kami menjadi antara orang terlambat dan terkebelakang, namun  kami tetap mahu  menghabiskan  jalan ini. Biarpun lambat, kami tetap mahu sampai ke puncak.
Dan akhirnya sekitar jam 12 tengah  hari, kami tiba di Monastery. Sesampainya kami di binaan  gah itu dan merupakan  monumen terbesar Petra, perkataan pertama yang terluncur keluar dari mulutku  ialah “Alhamdulillah” sebelum diikuti “Subhanallah”. Syukur kami diberi kesempatan dan peluang untuk sampai ke puncak dan segala puji bagi Allah apabila terlihatkan binaan  megah itu. Sungguh ia terlalu besar dan hebat. Terasa seperti kerdil di hadapan ukiran tidak bernyawa itu. Lalu bagaimanakah  pula perasaanku ketika menghadap Tuhan Maha Kuasa di Hari Pengadilan nanti? Sesungguhnya Perta sangat menginsafkan aku.
Handphone aku keluarkan. Beberapa keping gambar Monastery aku ambil sebagai syarat  berjaulah sebelum  meminta Siti mengambil gambar kami menggunakan  kameranya. Manakan sama kualiti gambar handphone dibandingkan DSLR! Sepuluh minit disitu sebelum kami memanjat bukit kecil yang membawa kepada “The Best View Of Monastery”. Di atas sana ada warung kecil dan sudah semestinya pelajar lelaki juga berada di sana yang sudah sampai awal daripada kami!
**
Berada di puncak Petra benar-benar membuatkan aku terlupa segala perit mendaki dan semua penat yang berlingkar di urat-urat kaki. Menikmati pandangan terbaik Monastery juga membuatkan aku leka dan langsung lupa tentang pedih memanjat dan lelah tercungap. Biarpun aku mengambil masa lebih kurang tiga jam lebih dan menjadi antara orang terakhir sampai ke puncak, namun aku berbangga kerana telah berjaya menamatkan perjalanan. Sungguh, Allah swt bantu aku dengan menguatkan kaki dan semangat demi melihat kebesaranNya di puncak Petra. Alhamdulillah.
            Kota purba lama Petra sangat masyhur dalam kalangan ahli arkeologi, geologi dan sebagainya sebagai tapak mengkaji seni bina dan sejarahnya selain terkenal sebagai pusat pelancongan dalam kalangan orang awam. Ia merupakan “World Heritage Site” dan termasuk dalam salah  satu daripada 7 Keajaiban Baru Dunia pada tahun 2007 dan Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 1985 lagi. Petra juga dipilih oleh British Broadcasting Corporation (BBC) sebagai satu daripada “40 tempat yang anda mesti lihat sebelum mati”
            Dari Petra, aku temui sesuatu. Dengan Petra juga aku belajar tentang sesuatu. Walau sepenat mana kau melangkah, kau pasti jua tiba di penghujungnya. Walau sepenat mana kau dengan dunia, beringatlah kau punya syurga yang menunggu di hari sana. Berkuatlah. Bertabahlah mengharung mehnah tribulasi dunia yang tidak pernah surut malah bertambah pasang pula. Bersusah-susahlah kau di dunia, semoga kau tersenyum di negeri sana.
“Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang” – Imam Syafie

Saturday, 15 February 2014

KARYA SISWA MINGGU 1

KARYA TERBAIK MINGGU 1

KATEGORI VIDEO
oleh:Anna Hamiring,Tahun 2,Universiti Mu'tah

Pesan Ibu tentang ayah

Anakku... 
Memang ayah tak mengandungmu..
Tapi,
Darahnya mengalir didarahmu. Darinya kau diwarisi namanya, kedermawanan & kerendahan hati.

Memang ayah tak melahirkanmu...
Tapi,
Suaranya-lah yang pertama mengantarkanmu pada Allah ketika kau lahir.

Memang ayah tak menyusuimu...
Tapi,
Dari keringatnyalah setiap suapan yang menjadi air susumu.

Ayah memang tak menjagaimu setiap saat...
Tapi,
Tahukah kau dalam do'anya tak pernah terlupa namamu disebutnya.

Tangisan ayah mungkin tak pernah kau dengar...
Kerana,
Dia ingin terlihat kuat agar kau tak ragu untuk berlindung di lengannya dan di dadanya ketika merasa tak aman.

Pelukan ayahmu mungkin tak sehangat dan seerat ibu...
Kerana,
Cintaannya dia takut tak sanggup melepaskanmu.

Ayah mu ingin kau kuatkan semangat agar ketika kami tiada kau sanggup menghadapi semua sendiri.

Ibu hanya ingin kau tahu...
Bahawa,
Cinta ayah kepadamu sama besarnya seperti cinta ibu.

Anakku dari dirinya juga terdapat surga bagimu. 
Maka,
Hormati dan sayangi ayahmu.
Kerana,
Ibu adalah tulang rusuk-nya.


Berbahagialah yang masih punya ibu & Ayah

Pertandingan Karya Siswa

KARYA SISWA MINGGU 1

PUISI 1
Oleh:Hamizah Ruslan,Tahun 3,Universiti Yarmouk

Apabila seorang sahabat menghargai sahabat lain, apatah lagi, dalam diam, betapa berharga jadinya sebuah persahabatan itu. Dan sekarang, saya mahu membawa kalian menghargai hubungan kasih sayang antara sahabat, tanpa mereka mengetahui, bukankah itu tanda keikhlasan? J

Di langit biru itu aku menangkap ketenangan,
Di langit nan indah  kupetik nilai kemanusiaan,
Di tengah-tengah keheningan pagi kugapai satu noktah kebahagiaan,
Pernah kubahagia dalam hidup,
Walaupun kutahu keluargaku tiada di sisi,
Kakanda yang dulunya mengisi kekosongan hati tiada di sini,
Namun kulihat pada ‘dia’,
Kutoleh pada tingkahnya,
Nyata ‘dia’ istimewa,
Pabila aku resah, aku gundah, ‘dia’ ada bersama,
Memahami detik-detik kesukaran,
Tatkala kesusahan mengisi uncang kehidupan,
Moga aku tidak kelalaian dalam mencari redha Tuhan,

Payah!
Memang payah mahu menghargai nilai seorang teman,
Bila kesunyian aku mencari,
Bila kealpaan aku yang dicari,
Benarlah kata orang “ ukhuwah itu pabila diimplementasi dengan hati,
Natijahnya membuah pekerti,
Susah senang  tetap sehati,
Setekad jiwa membentuk inspirasi”,
Bukan ketinggian ilmu yang kucari darinya,
Bukan keagungan pangkat yang kuharap padanya,
Bukan juga selaut harta yang kuminta daripadanya,
Tapi yang kudamba, ialah seluas-luas kasih sayang dan kejujuran,
Yang bisa membawa aku kepada Tuhan.

Kini, aku memahami erti ukhuwah dalam keimanan,
Tatkala berukhuwah bertaut sayang,
Terus , hati itu kembali pada Tuhan,
Walaupun badai ombak ganas datang menyimpang,
Tetap teguh meredah medan ,
Moga segalanya kian tabah,
Bersama  insan bernama teman,
Allah.. aku minta padaMu,
Moga Kaukekalkan ia,
Di hatiku..

-Ana_Hr93
-Irbid|2012|Sakan Baitu Tholabah

PUISI 2
Oleh:Wan Nur Farhanah,Tahun 2,Universiti Yarmouk

Aku Tahu Itu

Derap langkah aku susun kemas
Teratur!
Aku bakal memasuki ruangan itu
Ruang yang bakal menyakitkan aku di permulaan
Tetapi akan menerbitkan senyuman di akhirnya
Aku bulatkan tekad sebulat mungkin
Menandakan aku cukup bersedia menghadapinya
Aku jadi yakin
Aku makin bersemangat
Aku teruskan langkah
Biar aku tahu aku bakal tersungkur
Aku pedulikan walang
Kerna aku tahu itu
Adalah bulatan kehidupan

Ku sedut atmosfera nyaman itu
Kini aku di kota Ashabul Kahfi
Mengutip ilmu di situ
Mendewasakan diri
Membentuk jiwa lebih mengenal Tuhan
Langit biru aku junjung kemas
Meski kutahu langit ini bakal runtuh menimpa diri
Namun aku kuat kerna tanah yang aku pijak
Tanah  Syam penuh barakah
Ku harap ada barakah itu untuk insan sepertiku
Yang dipalit noda-noda
Juga tercemar dek dosa
Sepenuh mengharap kasih sayangNya.

Lebih dua belas purnama aku di sini
Banyak yang aku pelajari dan lalui
Sungguh
Perit benar mahu melangkah
Namun aku tahu ada cahaya bahagia di penghujung jalan
Berjuang di bumi asing menuntut pengorbanan
Aku tahu itu
Sungguh
Aku tahu itu
Namun bilamana sudah bertekad
Aku yakin dan pasti
Aku percaya Tuhan akan membantu mereka
Yang berusaha berlari pergi
Demi merebut dakapan Ilahi.

Saturday, 7 December 2013

KARNIVAL SUKAN PUTRA 2013

Karnival Sukan PUTRA atau KASUT adalah satu program anjuran Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan yang bertujuan untuk mengeratkan ukhuwwah di antara ahli PUTRA seluruh Jordan.Pelbagai aktiviti menarik bakal dihidangkan kepada anda,antaranya ialah 
-Sukaneka
-Booth PUTRA dan Medik
-Gerai jualan
-Taaruf AMT dan ALT




Kini pendaftaran telah dibuka buat semua ahli PUTRA!!Jom,jangan lepaskan peluang untuk menyertai KASUT yang bakal diadakan pada 21 DISEMBER 2013.Untuk menyertai,anda boleh mengisi spreadsheet sehingga 13/12/2013 dan membayar yuran kepada PIC setiap mantiqah.

Irbid:1 JD
Amman:1.75JD
Mafraq:1.75JD
Mu'tah:2JD
*Bayaran selewat-lewatnya pada 18/12/2013
*Yuran termasuk pengangkutan dan makanan
*PIC boleh rujuk di Group PUTRAGANU

Link spreadsheet:

Friday, 27 September 2013

Rentetan Program Gathering

29 OGOS 2013
Gathering Anok Ganu Jordan di Malaysia

  Julung-julung kalinya PUTRA pada sesi kali telah menganjurkan satu program di Malaysia bertujuan untuk mengumpul anak-anak Terengganu yang belajar di Jordan.Program yang bertempat di Taman Rekreasi Masjid Terapung,Kuala Ibai telah dihadiri oleh ahli PUTRA yang pulang bercuti di Malaysia dan diserikan lagi oleh tetamu jemputan iaitu Dr Zaid,seorang pensyarah UNISZA yang baru sahaja menamatkan PhD beliau di Universiti Yarmouk,Jordan.

 Dalam majlis yang cukup harmoni itu,Dr Zaid sebagai tetamu kehormat melontarkan ucapan berupa nasihat yang bermanfaat dititipkan buat hadirin yang hadir.Antara isi nasihat beliau ialah pelajar jurusan agama khususnya haruslah keluar ke tengah-tengah masyarakat,menyampaikan ilmu yang ada untuk kemaslahatan ummah bukan menyembunyikan diri dan alim sendiri.Hal ini terjadi begitu ketara sekali dalam kalangan graduan yang telah selesai pengajian sedangkan masyarakat sangat memerlukan khidmat dan ilmu daripada mereka.Sedarlah bahawa ummah dasawarsa ini sangat ketandusan nilai agama dan akhlak!

 Beliau melahirkan penyesalan terhadap segelintir pelajar jurusan agama yang belum ada disiplin diri dari aspek masa dan juga masih kurang dari segi pengurusan diri dan sebagainya.Perkara ini menjadi kebimbangan kerana tanpa sedar ia menjadi satu fitnah kepada golongan agama apabila masyarakat memandang buruk sikap yang ditonjolkan oleh mereka walaupun bukan semua yang terlibat.
  Kata beliau lagi,pelajar sewajarnya meningkatkan ilmu di dada bukan setakat di tahap ijazah sarjana muda sahaja.Walaupun sudah di tahap phD,tambahilah ilmu dengan mengajarkannya kepada orang lain.Sememang ilmu Allah ini sangat luas dan tidak akan habis walau seisi dunia mengautnya.

Antara yang hadir

 
  Akhirnya,beliau menyeru mahasiswa yang belajar di Timur Tengah ini agar meningkatkan penguasaan dalam bahasa arab walaupun berada di Malaysia.Jangan biarkan ia luput setelah lelah mempelajarinya.  
  Sebelum majlis berakhir,para hadirin menjamu selera di bawah pohonan dan deruan angin pantai yang menyejukkan.Majlis berjalan dengan lancar dan PUTRA mengucapkan terima kasih kepada ahli PUTRA yang datang memeriahkan majlis.

Dilaporkan oleh: Timbalan BPP 13/14