Thursday, 4 July 2013

ROAD TO RAMADHAN

Bismillah..

Tersebutlah kisah..
     Ada seorang Pak Cik, namanya, Pak Cik Karim. Pak cik ni, sangat terkenal dengan gerai air susu lembunya. Gerainya, saban hari, semakin bertambah pengunjung. Pak Cik Karim sangat menjaga kebersihan gerainya, menjaga kualiti susunya. Jadi, tidak hairanlah kenapa gerainya sangat ramai yang datang untuk mendapatkan susu lembu beliau secara percuma. Malah, lidahnya sentiasa basah dengan zikrullah. Subhanallah, ada keberkatan dalam kerjanya.
     
    Apa yang menarik dengan gerai Pak Cik Karim adalah, selain susunya diberikan secara percuma, beliau juga mensyaratkan sesiapa yang nak minum susu, dia mestilah membawa gelas bersamanya. Kiranya, tugas Pak Cik Karim hanyalah menuangkan air susu dalam gelas yang di bawa oleh pengunjungnya. Pak Cik Karim juga, ada pengunjung tetap. Ada pelbagai dan bermacam karakter pengunjung yang datang untuk minum susu lembu Pak Cik Karim.
   
   Dua orang pemuda, Abu dan Zaid, merupakan pengunjung setia Pak Cik Karim yang paling kerap ke gerainya. Karakter mereka berdua sangat berbeza. Abu sangat pembersih orangnya, manakala Zaid pula sebaliknya. Setiap kali Abu ingin minum susu, dia akan membawa gelasnya yang sangat bersih. Zaid pula membawa gelasnya yang kotor.
    
    Lagi satu, untuk mendapatkan susu Pak Cik Karim, ada masanya, setiap orang hanya boleh mendapatkan susu kambing dalam masa 30 saat sahaja. Jadi, setiap kali Zaid tiba di depan gerai Pak Cik Karim, masa 30 saatnya hanya dihabiskan dengan Pak Cik Karim membersihkan gelasnya. Walaubagaimanapun, sekurang-kurangnya, Zaid dapat bawa pulang gelas yang bersih. Berbeza pula dengan Abu. Tiga puluh saatnya dapat diisi dengan air susu yang sangat menyegarkan untuk diminum.

TAMAT

     Pengajaran yang ingin dikongsikan dalam cerita ini adalah. Pak Cik Karim diibaratkan Ramadan Kareem yang datang sekali setahun sahaja, 30 hari sahaja dalam setahun. Abu dan Zaid merupakan gambaran kepada kita dalam persediaan menyambut Ramadan. Abu sangat bersedia untuk menyambut kedatangan Ramadan. Dan pada akhirnya, dia Berjaya mendapat reward Ramadan Kareem. Kalau kita membuat persediaan sebaiknya sebelum Ramadan, InsyaAllah, Ramadan yang datang bakal membersihkan lagi hati kita, meningkatkan lagi kualiti iman, amal dan taqwa kita kepada Allah..
   
     Semoga kita tidak tergolong dalam golongan seperti Zaid. Oleh sebab tiada persiapan untuk menyambut Ramadan, jadi, sepanjang sebulan Ramadan, hanya dihabiskan untuk membersihkan hati yang tersangat kotor. Sedangkan Ramadan yang kita inginkan adalah menyucikan lagi hati kita agar berkilat dengan kilauan iman. Namun, tidak dinafikan, sekurang-kurangnya, Zaid mendapat gelas yang bersih di akhirnya. Semoga gelas itu kekal bersih dan sentiasa digilap sentiasa walaupun Ramadan dah berlalu.

Jadi, apakah persiapan yang boleh kita lakukan dalam bulan sya’ban yang berbaki ini dan Ramadan yang semakin hampir?

Antaranya;
-Bertaubat dan sentiasa memperbaharui taubat.

-Basahkan lidah dengan berzikir.

-Tilawah Al Quran (cuba untuk menghabiskan bacaan Quran satu juzuk sehari)

-Berdoa [Yahya bin Abi Kathir meriwayatkan: “Diantara doa-doa orang soleh: ‘Ya Allah, jumpakan aku dengan Ramadan dan serahkan Ramadan kepadaku, terimalah amalan yang aku lakukan di dalamnya.’]

-dah boleh start sikit-sikit solat berjemaah di masjid.

-Menguar-uarkan kehadiran Ramadan [Rasulullah صلى الله عليه وسلم  menguar-uarkan berita gembira dengan ketibaan Ramadan kepada para sahabatnya. Baginda memerintahkan agar para sahabat mengalu-alukan kehadirannya dengan bersabda (maksudnya): “Telah datang kepadamu bulan Ramadan, penghulu seluruh bulan-bulan (Hijrah), maka alu-alukanlah ketibaannya.”]

  Apa tunggu lagi…, ayuh kengkawan, sama-sama kita buat persiapan dan persediaan untuk mendaftarkan diri masuk ke Madrasah Tarbiyah beralamat di Lot 1434H, Jalan Menuju Taqwa, Kg. Ramadhan Kareem, Syurga Firdausi.
Semoga antum semua menjadi pelajar terbaik dalam anugerah Ramadan Kareem.
اللهم بلغنا رمضان





p/s: trophy ini hanya layak untuk mereka yang paling bersedia menyambut kedatangan Pak Cik Karim.. :D

written by:Unit Pengisian Rohani BPP